Malaysia menamatkan kempen Piala Dunia Bawah 15 Tahun (B-15) di tempat ke-56 selepas tewas di tangan Lubnan dalam aksi final penentuan tempat ke-55.
Selepas tewas kepada Qatar di peringkat separuh akhir penentuan tempat ke-53, anak buah P. Maniam berpeluang menutup kempen dengan kemenangan.
Meskipun berdepan Lubnan untuk penentuan tempat ke-55, skuad muda negara dilihat yakin berdepan lawan dari Asia Barat.
Ini kerana Malaysia hanya tewas kepada Qatar menerusi penentuan penalti dan menewaskan Syria di peringkat kumpulan.
Separuh masa pertama menyaksikan anak buah Maniam memberi saingan sengit kepada pasukan Timur Tengah itu. Malah, skuad muda negara beberapa kali hampir menjaringkan gol.
Malangnya, gawang Malaysia dirobek Lubnan pada minit ke-15. Malaysia cuba bangkit pada separuh masa kedua tetapi dibolosi buat kali kedua pada minit ke-35.
Gol tersebut bukan saja memastikan Lubnan meraih kemenangan ke atas skuad negara. Malah, itu memastikan tempat ke-55 menjadi milik mereka.
Meskipun menamatkan kempen di tempat ke-56, skuad muda negara patut bangga dengan pencapaian di Baku, Azerbaijan. Ini kerana mereka berada dalam kelompok 60 pasukan terbaik Piala Dunia B-15.


