Resipi Kejayaan Bergson Di Bumi Malaysia
MakanBola
JST/Malaysia NT

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Harimau Malaya, Bergson Da Silva terus membuktikan dirinya sebagai antara pemain paling berpengaruh dalam kancah bola sepak Malaysia sejak menyertai kelab tersebut pada Julai 2021.

Sejak menjejakkan kaki ke bumi Malaysia, Bergson bukan sahaja berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan bola sepak tempatan, malah tampil konsisten dalam menghasilkan jaringan buat skuad Harimau Selatan.

Sehingga kini, pemain kelahiran Brazil itu sudah merekodkan 195 penampilan bersama JDT dengan koleksi 199 jaringan, satu angka yang cukup menggambarkan ketajamannya di hadapan gawang.

Prestasi tersebut turut membuka peluang buat Bergson mewakili Malaysia selepas beliau mendapat kepercayaan untuk membuat penampilan bersama skuad Harimau Malaya. Malah, penyerang berusia itu terus mencetak gol pada penampilan sulungnya ketika Malaysia menewaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026.

Bergson mengakui dirinya sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian yang telah diraih sepanjang kariernya.

“Saya sebagai pemain, saya suka dengan karakter dan personaliti yang saya miliki. Saya rasakan bahawa pencapaian saya selama ini, banyak yang saya pelajari mengenai diri saya. Salah satu perkara yang saya belajar ialah apa pun pencapaian yang kita sudah raih, ianya takkan pernah cukup.

“Saya rasakan kita perlu lebih dahagakan kejayaan untuk mencapai lebih banyak kejayaan kerana semua perkara adalah baharu. Jadi setiap minggu adalah perjalanan baharu dalam karier,” jelas Bergson ketika ditemubual PSSI.

Kini, dengan pengalaman bersama JDT serta permulaan positif bersama Harimau Malaya, Bergson pastinya mahu meneruskan momentum tersebut sambil terus memburu lebih banyak kejayaan dan jaringan dalam kariernya di bumi Malaysia.