Bergson Tak Berhasrat Ke Liga Indonesia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Harimau Malaya, Bergson da Silva, mengakui dirinya tidak pernah membayangkan untuk meneruskan karier di Liga Indonesia selepas menikmati perjalanan yang cukup gemilang di arena bola sepak Malaysia.

Bergson yang sudah memasuki tahun keenam bersama JDT berkata, perjalanan kariernya di Malaysia berlaku dengan begitu pantas sehingga dia tidak pernah terfikir untuk berpindah ke liga lain, termasuk Indonesia.

“Tidak. Tidak. Saya belum membayangkan perkara tersebut (beraksi di Liga Indonesia). Seperti yang saya katakan, karier lima ke enam tahun di sini berlaku dengan agak pantas. Jadi saya tidak pernah membayangkan perkara itu kerana saya gembira berada di Malaysia,” jelas Bergson ketika ditemubual PSSI.

Sejak menyertai JDT, Bergson muncul sebagai antara penyerang paling prolifik dalam bola sepak Malaysia apabila membantu Harimau Selatan mendominasi saingan domestik selain memberi saingan hebat dengan kelab-kelab besar di pentas Asia.

Sepanjang bersama JDT, penyerang kelahiran Brazil itu turut menikmati pelbagai kejayaan termasuk kejuaraan Liga Super Malaysia, Piala Malaysia dan Piala FA selain membantu kelab tersebut mencipta sejarah di pentas Asia.

Kini Bergson turut membuka lembaran baharu dalam kariernya selepas membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Malaysia. Dia terus mencuri perhatian apabila meledak gol pada penampilan pertamanya ketika Harimau Malaya menewaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi Kumpulan A FIFA ASEAN Cup di Indonesia.

Jaringan tersebut sekali gus menjadi permulaan positif buat penyerang berbisa berumur 35 tahun itu bersama Malaysia, dengan pemain berkenaan kini turut dilihat sebagai antara pilihan penting di jentera serangan skuad Harimau Malaya untuk perlawanan-perlawanan mendatang.