Penyerang Harimau Malaya, Bergson Da Silva menegaskan skuad negara tidak gentar untuk berdepan mana-mana pasukan selepas memulakan kempen FIFA ASEAN Cup 2026 dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh.
Bergson mencuri perhatian dalam penampilan sulungnya bersama Malaysia apabila berjaya meledak gol dalam aksi pertama Kumpulan A di Jakarta.
Gol tersebut menyuntik keyakinan buat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu untuk membantu Harimau Malaya menghadapi cabaran lebih sukar selepas ini.
Bergson mengakui setiap perlawanan dalam kejohanan tersebut pasti menghadirkan cabaran tersendiri, termasuk pertemuan menentang Indonesia yang bakal berlangsung di laman sendiri pasukan lawan.
“Kita tahu kekuatan Indonesia dan mereka bermain di tempat sendiri dalam pertandingan ini, tetapi sebagai rakyat Malaysia, kami perlu fokus terhadap setiap peluang yang kami ada ketika menentang mereka,” katanya.
Menurut Bergson, kekuatan Harimau Malaya terletak pada kemampuan para pemain untuk bersatu dan mengumpulkan tenaga ketika berdepan pasukan yang lebih besar.
“Saya fikir motivasinya berbeza, jika kita mengumpulkan semua kekuatan bersama, kita mampu mencapai apa yang kita mahukan dan itu adalah mentaliti kami,” katanya.
Pemain berusia 35 tahun itu turut menegaskan skuad negara tidak akan gentar dengan mana-mana lawan dalam usaha memburu keputusan positif sepanjang kejohanan.
“Kami tidak takut kepada sesiapa dan akan terus mara untuk mencapai apa yang kami mahukan, sebab itu kami datang ke Jakarta untuk bermain dalam perlawanan seperti ini,” katanya.