Penyerang baharu Harimau Malaya, Bergson Da Silva membuka akaun jaringan bersama Malaysia.
Kelibat Bergson menjadi sandaran utama pasukan Harimau Malaya setelah jurulatih interim negara, Tan Cheng Hoe menyenaraikan nama tonggak itu di dalam kesebelasan utama Malaysia menentang Bangladesh pada petang Jumaat.
Penampilan pertama Bergson itu dianggap cukup manis apabila penyerang kelahiran Brazil itu berhasil membuka akaun gol bersama pasukan negara selepas rembatan kencangnya gagal diselamatkan oleh penjaga gol pasukan Bangladesh.
Jaringan pada minit ke-53 itu terhasil apabila hantaran silang Corbin Ong jatuh tepat ke kaki Bergson Da Silva sebelum pemain berusia 35 tahun itu melakukan pusingan dan melepaskan percubaan yang terus menerjah pintu gol lawan.
8 minit kemudian, Tan Cheng Hoe mengambil keputusan bagi membawa keluar Bergson, dan digantikan dengan penyerang muda, Fergus Tierney memandangkan beliau sudah pun mengutip kad kuning di awal babak yang pertama.
Kedudukan semasa menyaksikan Malaysia mendahului selesa permainan dengan keputusan 3-0 selepas dua jaringan daripada Arif Aiman di babak yang pertama memberikan kelebihan besar buat pasukan Harimau Malaya.