Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil memohon maaf kepada seluruh peminat bola sepak Malaysia susulan kemelut yang berlaku ke atas bola sepak negara tahun lalu.
Presiden FAM, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata permohonan maaf itu dibuat bagi pihak badan induk tersebut kepada seluruh penyokong yang telah melalui pelbagai cabaran susulan isu yang melanda bola sepak negara.
Beliau turut memberi komitmen untuk memastikan perkara seumpama itu tidak berulang sepanjang tempoh beliau menerajui FAM.
“Bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), saya ingin memohon maaf kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia atas isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang berlaku tahun lalu.”
“Justeru itu, saya memberi komitmen sepanjang tempoh menerajui FAM, perkara seumpama ini tidak akan dibiarkan berulang.”
Ab Ghani sebelum ini dipilih sebagai Presiden FAM bagi penggal 2025 hingga 2029 dalam Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026.
Menurut beliau, komitmen tersebut menjadi antara usaha untuk memastikan kemelut yang berlaku tidak kembali berulang serta memberi keyakinan kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia.
FAM kini akan meneruskan usaha untuk memperkukuhkan pengurusan badan induk bola sepak negara selepas melalui tempoh yang penuh cabaran susulan kemelut tersebut.