Ghani Hassan Sah Presiden FAM Ke-9
MakanBola
MFL

Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan sah memikul peranan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu.

Ab Ghani terpilih ke jawatan tersebut selepas berjaya menewaskan pencabarnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar dengan 20 undi dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM untuk baki penggal 2025-2029.

Pemilihan tersebut diadakan dalam Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Kedua 2026 yang berlangsung pada Khamis.

Figura berusia 63 tahun itu bukan asing dengan dunia bola sepak. Ab Ghani cukup dikenali sebagai pemain bola sepak bersama Negeri Sembilan pada era 80-an.

Malah, beliau juga pernah beraksi bersama legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari untuk skuad Pilihan Negeri Sembilan. Pasukan itu pada ketika itu menentang FC Groningen di mana salah seorang pemain ialah legenda Singapura, Fandi Ahmad.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Merdeka berkesudahan dengan Pilihan Negeri Sembilan tewas tipis 3-2 di tangan Groningen.

Selepas tidak lagi aktif menjadi pemain, Ab Ghani memikul tugas sebagai penolong dan pengurus pasukan Negeri Sembilan. Beliau juga pernah menjadi pengurus skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) ketika pasukan itu dibimbing Bojan Hodak.

Ab Ghani juga pernah menceburi dunia politik dengan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau selama satu penggal dari 1999 hingga 2004. Setelah itu, kerusi berkenaan diserahkan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan untuk penggal berikutnya.

Ab Ghani kemudiannya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah MFL pada April 2019. Pada 1 Mac 2020, beliau memangku jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL susulan peletakan jawatan Kevin Ramalingam.

Ab Ghani kemudiannya memikul tugas sebagai Presiden MFL pada 16 Ogos 2021. Beliau dibawa masuk menggantikan penyandang sebelumnya, Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin yang memilih mengundur diri beberapa hari sebelumnya.