Bekas jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Bojan Hodak sedia memilih Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika diberi kuasa untuk memilih.
Hodak berpandangan sedemikian kerana mengenang jasa Ab Ghani ketika membimbing skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19).
Sepanjang tempoh beliau membimbing pasukan itu, legenda Negeri Sembilan itu memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Hodak dan sentiasa mengutamakan pasukan.
“Dua tahun saya bekerjasama dengan Ab Ghani dan kali pertama kita jumpa, beliau sudah beritahu sebagai pengurus pasukan, beliau tetap akan sokong saya sebagai jurulatih pada waktu itu.
“Beliau juga tegaskan yang beliau tidak akan pernah ganggu atau masuk campur apa-apa, tetapi akan tolong sekiranya kami perlu bantuan, dan saya rasa sebab itulah kami akhirnya merangkul kejuaraan buat julung kalinya.
“Ab Ghani bukan individu yang nak letak diri dia di hadapan, tapi setiap kali kita perlukan sesuatu, dia orang pertama yang akan ada dan bagi saya, itulah karakter sebenar untuk jadi seorang pemimpin,” katanya.
Gandingan Hodak dan Ab Ghani membantu skuad Malaysia B-19 muncul juara Kejuaraan B-19 ASEAN 2018. Melihat impak figura itu bersama skuad kebangsaan, Hodak percaya Ab Ghani memiliki kualiti kepimpinan yang diperlukan FAM.
Bekas jurulatih Persib Bandung itu melihat beliau memiliki kelebihan berbanding pencabarnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk merebut jawatan presiden badan induk itu.
“Saya ada nampak Ab Ghani bertanding untuk posisi Presiden FAM, bersama-sama dengan Shahril juga dan saya pernah bekerjasama dengan kedua-dua individu ini.
“Tapi secara peribadi saya rasa Ab Ghani layak untuk menjawat jawatan itu sebab selama saya pernah bekerja bersama beliau, saya melihat bagaimana cara beliau meletak segalanya untuk pasukan kami ketika AFF 2018 itu.
“Berbanding dengan seorang lagi calon dan pengalaman saya bersama Shahril, Ab Ghani lebih sesuai untuk galas tanggungjawab tanpa ada kepentingan peribadi dan kualiti sebagai seorang pemimpin memang sudah ada dalam diri beliau,” ujarnya.
Hodak bukan asing dengan bola sepak Malaysia dengan meraih pelbagai trofi seperti Piala Malaysia, Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih. Selain KL City dan Malaysia B-19, beliau juga pernah membimbing Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan dan UPB-Myteam.
Hodak bukan satu-satunya jurulatih yang memiliki pengalaman positif bersama Ab Ghani. Sebelum ini, bekas jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan turut berkongsi pengalaman menarik bekerjasama dengan beliau ketika membimbing pasukan itu.
Ghani dan Shahril merupakan pencabar untuk merebut jawatan Presiden FAM. Pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM untuk baki penggal 2025-2029 bakal diadakan pada 17 September ini.