K. Devan Kenang Jasa Ghani Hassan
MakanBola
MFL

Bekas jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan mendedahkan Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan banyak berjasa kepada pasukan itu ketika bergelar pengurus pasukan.

Perkara ini dikongsikan beliau apabila diminta mengulas pengalaman bekerja bersamanya dari 2005 hingga 2006. Dua musim itu menyaksikan The Jangs layak ke Liga Super selaku naib juara Liga Premier pada 2005.

Selain mengakui kualiti ketokohan yang dimiliki Ab Ghani, Devan turut mengingati sikap beliau yang sentiasa mengambil berat aspek kebajikan dan disiplin pemain.

“Ketika itulah pasukan Negeri Sembilan berjaya layak ke Liga Super musim 2005-2006. Dan saya boleh katakan ia pengalaman paling manis sekali bekerja dengan beliau bersama Negeri Sembilan.

“Selaku pengurus pasukan, beliau merupakan seorang yang komited untuk dapatkan komitmen 100 peratus daripada pemain apabila kita turun ke padang, sangat rajin bekerja, senang bergaul dan begitu rendah diri.

“Kami dalam pasukan sentiasa dapat sokongan daripada beliau dan selalu ada bersama kami tak kira apa situasi. Contohnya sentiasa ambil berat akan kebajikan pemain, disiplin mereka dan kualiti kepimpinan beliau memang tinggi, itu yang selalu kami lihat sepanjang bekerjasama,” katanya.

Devan yang pernah membimbing Melaka FC juga percaya Ab Ghani sebagai figura terbaik untuk memimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya rasa posisi selaku Presiden FAM untuk pemilihan akan datang ini tepat pada masanya untuk diberikan kepada beliau berdasarkan pengalaman beliau yang cukup luas dalam bidang bola sepak.

“Bukan sahaja sebagai pemain bola sepak, tetapi dah pernah jadi pegawai pasukan, dan juga pentadbir sukan.

“Jadi saya secara peribadi berharap semuanya berjalan dengan baik untuk pemilihan Presiden FAM kali ini di mana saya percaya sekiranya Ab Ghani dipilih, beliau mampu untuk bawa perubahan dan saya rasa beliau adalah individu terbaik untuk memimpin FAM kali ini,” ujarnya.

Ab Ghani bakal bersaing dengan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk merebut jawatan Presiden FAM.