Ghani Hassan & Shahril Mokhtar Rebut Kerusi Presiden FAM
MakanBola
MFL/FAS

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Dato’ Ab Ghani Hassan dan Dato’ Sri Shahril Mokhtar sebagai dua calon yang bakal bersaing bagi merebut jawatan Presiden FAM.

Kedua-dua individu itu akan berentap dalam Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029 yang akan berlangsung pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026.

Kerusi Presiden FAM sebelum ini disandang Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang menerajui badan induk bola sepak negara selama dua penggal dari 2018 hingga 2025.

Pemilihan kali ini bakal menentukan siapa yang akan mengambil alih kepimpinan FAM bagi meneruskan pentadbiran untuk baki penggal 2025-2029.

Selain jawatan Presiden, pemilihan kali ini turut menyaksikan saingan bagi beberapa kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM.

Bagi jawatan Naib Presiden 1, tiga calon disahkan bertanding iaitu Datuk Seri Haji Rosmadi Haji Ismail, Mohd Firdaus Mohamed dan Syed Yazid Syed Omar.

Sementara itu, Datuk Saaran Nadarajah dan Afizal Abu Othman akan bersaing bagi satu kerusi Naib Presiden 3.

Saingan turut berlangsung bagi tiga kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif daripada kategori FA, PB PDRM, PB ATM, PBMM, MISC dan MCFA dengan tujuh calon disenaraikan.

Lima calon pula akan merebut dua kerusi daripada kategori FC, AFL, LWN dan MPFL, manakala Dato’ Zainal Abidin Hassan dan Azlan Johar bersaing bagi satu kerusi kategori Profesional.

Bagi kategori Wanita, Dato’ Suraya Yaacob dan Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah masing-masing akan bersaing untuk merebut satu kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM.

FAM memaklumkan semua pencalonan telah melalui proses semakan dan pengesahan berdasarkan Statut FAM serta peraturan dan tatacara pemilihan yang telah ditetapkan.