Manchester United dilaporkan sudah memiliki empat calon yang berpotensi menggantikan pemain tengah Brazil, Casemiro.
Akhbar The Sun melaporkan empat nama tersebut ialah Adam Wharton, Alex Scott, Carlos Baleba dan Elliot Anderson.
Keempat-empat pemain ini dilihat menepati profil pemain yang dimahukan pemegang saham minoriti kelab, Sir Jim Ratcliffe di Old Trafford.
Mereka bukan saja cemerlang bersama kelab masing-masing iaitu Crystal Palace, Bournemouth, Brighton dan Nottingham Forest. Malah, faktor usia muda turut menjadi menepati profil yang dimahukan United.
Sebelum ini, The Red Devils berkira-kira mendapatkan Baleba dalam tetingkap perpindahan Januari.
Walau bagaimanapun, perubahan rejim kejurulatihan daripada Ruben Amorim kepada jurulatih interim, Michael Carrick memaksa perancangan itu ditangguhkan buat masa ini.
Casemiro bakal meninggalkan Old Trafford pada akhir musim ini. Perkara ini disahkan beliau dan pengurusan United dalam satu kenyataan.
Meskipun Casemiro akan meninggalkan kelab dalam tempoh empat bulan, bekas jeneral tengah Real Madrid itu berikrar akan membantu United menamatkan musim dalam kedudukan terbaik.
“Ini bukan masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Masih ada banyak memori yang boleh dihasilkan dalam tempoh empat bulan seterusnya.
“Kita masih ada banyak perkara yang perlu diperjuangkan bersama. Saya akan sentiasa memberi fokus untuk memberikan segala-galanya untuk membantu kelab kita berjaya,” katanya.
United kembali mendapat rentak kemenangan apabila menewaskan musuh setempat, Manchester City 2-0. Mereka kini mengalihkan fokus kepada musuh tradisi, Arsenal.