Advertisement
4 Import Liga Super Berpotensi Dinaturalisasi Menjelang 2025
Liga Super
MakanBola
Penang FC

Sekurang-kurangnya empat pemain import Liga Super Malaysia berpotensi untuk dinaturalisasikan kelab masing-masing menjelang tahun 2025.

Seperti mana yang diketahui proses naturalisasi memerlukan seseorang pemain import itu beraksi di Malaysia untuk tempoh lima tahun berturut-turut.

Park Tae-su (Sabah FC)

Kapten pasukan Sabah ini sememangnya sudah boleh dinaturalisasikan apabila beliau sudah beraksi bersama Sabah sejak Januari 2019 lagi.

Selain beraksi cemerlang bersama Sabah, beliau juga mempunyai kelebihan dalam bertutur bahasa Malaysia.

Sepanjang bersama Sabah, Park Tae-su sudah mengumpul lebih 100 penampilan selain merekodkan 20 jaringan sejak 2019.

Tae-su bakal menginjak ke usia 35 tahun pada Disember tahun ini dan ianya mungkin agak sedikit lewat buat Tae-su untuk dinaturalisasikan.

Rafael Vitor (Penang FC)

Rafael Vitor merupakan ketua pasukan Penang musim ini. Beliau berpotensi untuk dinaturalisasikan pada Januari 2025.

Hadir ke Penang sejak Januari 2020, Rafael Vitor menjadi nadi utama bagi posisi pertahanan tengah pasukan Penang.

Beliau bakal menginjak ke usia 32 tahun pada tahun 2025 dan ianya mungkin umur yang sesuai buat beliau mewakili skuad kebangsaan Malaysia.

Jordan Mintah (Kuching City FC)

Penyerang Kuching City FC ini mungkin menjadi prospek naturalisasi pada tahun 2025 selepas lima tahun beraksi di Malaysia iaitu sejak Januari 2020.

Musim ini menyaksikan Mintah telah meledak empat jaringan daripada 10 penampilannya buat Kuching City.

Baru berusia 28 tahun, pemain kelahiran Ghana ini memulakan kariernya bersama Terengganu FC pada Januari 2020 sebelum dipinjamkan ke Kuala Lumpur City FC pada musim 2022.

Beliai kembali ke Terengganu pada penghujung musim 2022 dan kembali ke Terengganu sebelum berhijrah ke Kuching City awal musim ini.

Yuki Tanigawa (Kuching City FC)

Yuki Tanigawa merupakan tonggak pertahanan tengah buat Kuching City musim ini. Beliau sudah beraksi di Malaysia sejak Januari 2020.

Baru berusia 27 tahun, Tanigawa mampu beraksi di beberapa posisi lain juga seperti di bahagian tengah bertahan dan juga peman tengah.

Beliau sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang warga tempatan dari Sarawak pada Disember tahun lalu.

Untuk musim ini, Tanigawa sudah beraksi 10 perlawanan bersama Kuching City bagi saingan Liga Super dan Piala FA serta turut merekodkan satu jaringan.

Sebelum ini, penyerang PDRM FC, Ifedayo Olusegun dikatakan menjadi calon hangat untuk dinaturalisasikan namun beliau menafikan khabar angin tersebut sebaliknya mahu memberikan fokus untuk meningkatkan prestasi.