4 Negara Mahu Jadi Tuan Rumah Piala Asia 2035
MakanBola
AFC

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan 4 buah negara telah menyatakan minat rasmi untuk menjadi tuan rumah kejohanan Piala Asia 2035.

Perkembangan ini diumumkan susulan cadangan Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa pada Kongres AFC ke 35, yang mencadangkan agar pemilihan tuan rumah bagi edisi 2031 dan 2035 dibentangkan untuk kelulusan dalam satu Kongres yang sama. Langkah tersebut dilihat sebagai pendekatan perancangan jangka panjang bagi memastikan kesinambungan penganjuran kejohanan utama AFC.

Menerusi kenyataan AFC, jemputan untuk mengemukakan bidaan bagi Piala Asia 2035 telah diedarkan kepada semua Member Associations (MA) pada 27 Ogos 2025, dengan tempoh penghantaran bidaan ditutup pada 31 Disember 2025. Proses ini dijalankan selari dengan rangka kerja, peraturan dan garis masa penilaian yang ditetapkan badan induk bola sepak Asia itu.

Sebanyak 4 buah negara telah menyatakan hasrat rasmi untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2035 iaitu Australia, Jepun, Korea Selatan dan Kuwait. Kesemua negara ini memiliki pengalaman luas dalam menganjurkan kejohanan antarabangsa serta infrastruktur bola sepak yang mantap.

Dalam masa sama, AFC turut mengemas kini perkembangan bidaan bagi Piala Asia 2031. Susulan penarikan diri Persatuan Bola Sepak Emiriah Arab Bersatu daripada proses bidaan, 6 calon kekal bersaing bagi edisi tersebut terdiri daripada India, Australia, Indonesia, Korea Selatan, Kuwait serta bidaan bersama melibatkan Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan.

Seterusnya, AFC memaklumkan bahawa pihaknya akan berhubung dengan semua Member Associations yang membida untuk menyelaras penyerahan dokumen bidaan lengkap. Proses penilaian akan dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan sebelum keputusan muktamad mengenai tuan rumah bagi kedua dua edisi diumumkan pada Kongres AFC akan datang.