4 pengumuman besar melibatkan Harimau Malaya dijadualkan berlaku hari ini.
Revolusi skuad kebangsaan yang ditunggu-tunggu selama ini akhirnya menjadi kenyataan selepas disahkan oleh Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Permulaan kepada era baharu Malaysia ini bakal melibatkan beberapa aspek utama sekaligus menjadi tumpuan peminat bola sepak di Asia Tenggara.
Baginda memaklumkan bahawa fasa pertama melibatkan pembaharuan skuad kebangsaan adalah dengan pelantikan ketua jurulatih baharu buat Harimau Malaya.
“Esok (Isnin) akan diumum berkenaan ketua jurulatih pasukan kebangsaan.
Bukan itu sahaja, tiga lagi perkara penting melibatkan pelantikan pengendali Malaysia B-23, pasukan perubatan dan teknologi yang bakal membantu untuk meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.
“Jurulatih skuad B-23, staf perubatan dan teknologi yang akan memberi impak kepada pasukan kebangsaan,” ujar baginda.
Usaha menambah baik skuad negara akan diteruskan selepas DYAM Tunku Ismail akan bertemu wakil FIFA bagi mengenal pasti pemain luar negara yang berpotensi mewakili Harimau Malaya.
“Ada mesyuarat dengan wakil FIFA dapatkan data pemain warisan Malaysia di luar negara,” ujarnya.
Persiapan rapi ini bagi memastikan Harimau Malaya bersedia untuk mengharungi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, Nepal dan Laos bermula Mac tahun hadapan.