Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor memberi khabar mengenai usaha mendapatkan lebih ramai pemain warisan luar negara.
Baginda menamatkan penantian rakyat Malaysia apabila mengesahkan bahawa Harimau Malaya bakal memiliki ketua jurulatih baharu buat skuad senior dan B-23.
“Esok (Isnin) akan diumum berkenaan ketua jurulatih pasukan kebangsaan. Jurulatih skuad B-23, staf perubatan dan teknologi yang akan memberi impak kepada pasukan kebangsaan.
Selain itu, revolusi Harimau Malaya turut melibatkan kewujudan jawatan baharu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan juga pengarah teknikal.
“Selepas head coach selesai, akan diumumkan CEO dan technical director dalam masa terdekat,” ujar baginda dalam satu hantaran.
DYAM Tunku Ismail akhirnya mengesahkan berita yang paling ditunggu-tunggu peminat bola sepak Malaysia berkenaan pemain warisan.
Baginda mengesahkan bahawa pihaknya akan bertemu dengan wakil FIFA untuk mendapatkan data pemain warisan yang boleh beraksi buat Malaysia.
“Ada mesyuarat dengan wakil FIFA dapatkan data pemain warisan Malaysia di luar negara,” ujarnya.

Malaysia bakal mengharungi ujian mencabar apabila bertemu Vietnam, Nepal dan Laos bagi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun hadapan.