Saingan Piala Asia 2027 bakal dimeriahkan dengan kehadiran 4 negara dari ASEAN.
Pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 semakin hampir untuk melabuhkan tirai apabila baki 5 daripada 6 pasukan sudah mengesahkan slot ke Arab Saudi bersama 18 negara yang layak lebih awal.
Daripada 5 negara yang mara menerusi pusingan kelayakan, 3 daripadanya merupakan wakil Asia Tenggara iaitu Vietnam, Thailand dan Singapura yang masing-masing muncul selaku juara kumpulan.
Vietnam dan Singapura muncul sebagai juara kumpulan F dan C tanpa mencatatkan sebarang kekalahan selepas 6 perlawanan yang diharungi dalam kempen kelayakan kali ini.
Thailand pula melayakkan diri ke pentas Piala Asia dengan cukup dramatik apabila jaringan Manuel Bihr pada minit ke-89 menghadiahkan kemenangan buat skuad Gajah Perang ke atas Turkmenistan.
Satu lagi negara ASEAN yang layak ke Piala Asia 2027 adalah Indonesia yang mengesahkan tiket lebih awal selepas berada di tangga ke-2 pusingan Kelayakan Piala Dunia zon Asia dan mara secara automatik ke Arab Saudi.
Malang buat Malaysia apabila sekadar menamatkan saingan di tangga kedua kumpulan F, di belakang Vietnam sekali gus meleburkan impian peminat Harimau Malaya untuk hadir ke Arab Saudi tahun hadapan.
Satu lagi tiket daripada pusingan keayakan ini masih menjadi tanda tanya antara Lubnan dan Yemen di kumpulan B setelah aksi kedua-dua negara ini ditunda akibat konflik yang berlaku di Timur Tengah.