Pasukan kebangsaan Malaysia tewas kepada Vietnam dengan keputusan 3-1 dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia Arab Saudi 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh pada Selasa.
Malaysia membariskan Syihan Hazmi di bahagian penjaga gol dan Faisal Halim mengemudi jentera serangan manakala Matthew Davies menggalas lilitan kapten pasukan.
Sementara itu, pasukan tuan rumah, Vietnam menurunkan Nguyen Filip di benteng terakhir dan penyerang naturalisasi sensasi, Nguyen Xuan Son sebagai ayam tambatan bagi aksi ini.
Pasukan Vietnam memulakan perlawanan dengan penuh agresif apabila melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu pasukan Harimau Malaya seawal minit-minit pertama.
Skuad yang digelar Pahlawan Bintang Emas itu berjaya membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi tandukan kaptennya, Do Duy Manh, selepas menerima hantaran kemas daripada sepakan penjuru.
Gol tersebut sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh dalam kalangan ribuan penyokong tuan rumah di stadium.
Harimau Malaya turut melancarkan beberapa percubaan berbahaya pada awal separuh masa pertama menerusi bintang Selangor dan JDT, Faisal Halim serta Stuart Wilkin. Namun begitu, ketangkasan penjaga gol Vietnam, Nguyen Filip, wajar diberikan pujian apabila berjaya menafikan setiap percubaan tersebut.
Pemain naturalisasi baharu Vietnam, Do Hoang Hen hampir meledak gol kedua aksi pada minit ke-31 menerusi satu rembatan kencang dari luar kotak penalti Malaysia namun percubaan tersebut berjaya diselamatkan oleh Syihan Hazmi.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Vietnam.
Memasuki babak kedua perlawanan, skuad Pahlawan Bintang Emas terus mengasak kubu pertahanan Malaysia menerusi ancaman berterusan daripada Nguyen Xuan Son.
Nguyen Xuan Son kemudian mencetak dua gol dalam tempoh 10 minit, sekali gus memastikan Vietnam mendahului dengan tiga jaringan.
Pemain gantian Malaysia, Endrick Dos Santos, berjaya menghadiahkan gol saguhati buat Harimau Malaya pada minit ke-77 menerusi sepakan penalti, selepas seorang lagi pemain gantian, Daniel Ting, dijatuhkan dalam kotak penalti Vietnam.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Thien Truong itu berakhir dengan keputusan 3-1 memihak kepada pasukan tuan rumah, Vietnam.
Dengan tamatnya aksi ini, kempen kelayakan Piala Asia 2027 bagi skuad Malaysia ditutup dengan catatan tiga kemenangan dan tiga kekalahan daripada enam perlawanan.