5 calon jurulatih luar negara mula menjadi buah mulut penyokong Harimau Malaya ketika ini.
Hal ini susulan pemergian Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon selepas 2 tahun 6 bulan mengemudi skuad kebangsaan.
Tugasan skuad kebangsaan kini digalas oleh pemangku Ketua Jurulatih, Pau Marti Vicente bagi mengharungi dua kejohanan iaitu Pestabola Merdeka 2024 dan Piala AFF 2024.
Berikut merupakan 5 calon jurulatih baharu Harimau Malaya antaranya;
1. Petar Segrt
Bekas pengendali Tajikistan ini memiliki rekod tang hebat ketika membantu pasukan Asia Tengah itu.
Jurulatih berusia 58 tahun itu berjaya membantu Tajikistan untuk menewaskan Malaysia dalam dua aksi final King’s Cup dan juga Pestabola Merdeka 2023.
Beliau secara terbuka sedia mempertimbangkan tawaran melatih Malaysia sekiranya diberikan peluang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bekas jurulatih PSM Makassar ini turut membantu Tajikistan mara ke pusingan kalah mati Piala Asia 2023.
2. Park Hang-seo
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu merupakan jurulatih berpengalaman di Asia.
Beliau juga pernah dikaitkan ke Malaysia apabila Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan bahawa jurulatih berusia 66 tahun itu sanggup memecahkan kontraknya untuk melatih pasukan kebangsaan.
Park Hang-seo kini masih tidak melatih mana-mana pasukan sejak meninggalkan Vietnam pada tahun 2023 dan membawa pelbagai kejayaan buat pasukan Asena tersebut.
Hang-seo juga membimbing Pahlawan Bintang Emas layak ke suku akhir Piala Asia 2019 dan separuh akhir Sukan Asia 2018.
Impak besarnya terhadap bola sepak Vietnam turut diiktiraf kerajaan Korea Selatan di mana beliau dianugerahkan Pingat Heungin.
3. Hector Cuper
Bekas jurulatih Syria, Hector Cuper meninggalkan pasukan selepas setahun menjadi jurulatih.
Pengendali berusia 68 tahun itu memiliki pengalaman yang luas apabila pernah melatih pasukan seperti Inter Milan, Valencia dan Real Betis.
Jurulatih kelahiran Argentina ini juga sudah lama berkelana di Asia bersama beberapa negara sebagai jurulatih Mesir, Uzbekistan, DR Congo dan Syria.
Beliau berjaya membawa Syria ke peringkat kalah mati Piala Asia 2023 namun tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Iran.
4.Philippe Troussier
Jurulatih kelahiran Perancis ini telah dipecat daripada tugasan bersama skuad Vietnam.
Pengendali berusia 69 tahun ini memiliki pengalaman besar mengendalikan beberapa buah pasukan kebangsaan seperti Jepun, Qatar, Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan dan juga Vietnam.
Beliau tidak lagi bersama skuad Bintang Emas selepas bersama sejak tahun 2019 dan memegang tampuk skuad B-19, B-23 dan senior.
5. Jurgen Klinsmann
Bekas pengendali Korea Selatan ini masih tidak melatih mana-mana pasukan.
Jurulatih kelahiran Jerman ini berjaya membawa Taeguk Warriors ke peringkat separuh akhir Piala Asia 2023 di Qatar tempoh hari.
Beliau sebelum ini pernay dikaitkan ke China namun masih belum menemui destinasi baharu selepas meninggalkan Korea Selatan.