5 Calon Jurulatih Tempatan Kemudi Selangor
MakanBola
SFC/KDAFC/PFC
Sponsors

Nidzam Jamil mengejutkan peminat bola sepak Selangor FC dengan memilih mengundur diri sebagai pengendali pasukan itu.

Susulan itu, pengurusan Merah Kuning kini meneliti calon jurulatih yang berpotensi menggantikan Nidzam termasuk jurulatih tempatan. Berikut lima jurulatih tempatan yang berpotensi mengisi kerusi panas berkenaan.

Ad

1. Tan Cheng Hoe

Ad

Setiap kali ada kekosongan membabitkan kelab-kelab besar di Malaysia, nama Cheng Hoe sentiasa menjadi bualan gosip penyokong.

Jurulatih berusia 56 tahun itu bukan asing dengan Selangor kerana pernah membimbing pasukan itu dari 2022 hingga awal tahun 2024. Tempoh itu menyaksikan Merah Kuning muncul naib juara liga musim 2023.

Ad

Cheng Hoe kemudiannya menerima tawaran kelab Thailand, Police Tero tetapi hanya kekal sehingga Mei 2024. Ini selepas Police Tero tersingkir ke saingan Thai League 2.

Ad

Selain Police Tero dan Selangor, beliau juga pernah melatih Harimau Malaya dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC). Cheng Hoe ketika ini berstatus ejen bebas dan mencari peluang sesuai kembali ke dunia kejurulatihan.

Ad

Seandainya Merah Kuning mahu Cheng Hoe kembali buat kali kedua, mereka perlu membuat tawaran yang sukar dilepaskannya. Ini kerana beliau sebelum ini memaklumkan mahu meneruskan karier kejurulatihannya di luar negara.

2. Nafuzi Zain

Selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan sebagai pengendali Terengganu pada 2019, nama Nafuzi Zain menjadi sebutan peminat bola sepak negara.

Selain membantu menggilap bakat pemain muda, Nafuzi turut dikenali kerana mengamalkan corak permainan pantas atau Nafuzi Ball. Corak permainan ini menjadi identiti permainannya semasa di Terengganu dan kelabnya sekarang, Kedah.

Corak permainan ini turut membantunya meraih kedudukan empat teratas liga bersama Peteh (2021-2022) dan Sang Kenari (2023).

Identiti permainan dan pencapaian konsisten Nafuzi berpotensi menarik perhatian pengurusan Merah Kuning.

3. Datuk Lim Teong Kim

Reputasinya sebagai bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich menjadikan nama Teong Kim terus menjadi sebutan penyokong sehingga hari ini.

Reputasi ini juga yang membawa kepada perlantikannya sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) dari 2013 hingga 2018.

Legenda bola sepak Kuala Lumpur itu kemudiannya diberi peluang mengemudi Perak FC untuk saingan Liga Super musim 2023.

Walau bagaimanapun, selepas hanya meraih dua kemenangan daripada 13 perlawanan, pengurusan Perak memilih melepaskan Teong Kim dan membawa masuk Yusri Che Lah.

Selepas meninggalkan Perak, Teong Kim berstatus ejen bebas dan masih mencari peluang sesuai kembali ke dunia kejurulatihan.

4. Yusri Che Lah

Selepas dipilih sebagai pengendali interim Perak pada Mei 2023, Yusri tidak menoleh ke belakang. Beliau membantu menstabilkan pasukan untuk meraih kedudukan ke-11 liga pada musim 2023.

Sokongan padu yang ditunjukkan pemilik kelab, XOX pada musim 2024/25 membantu Yusri membawa The Bos Gaurus menghuni kedudukan ketujuh liga pada ketika ini.

Selain Perak, Yusri juga pernah membimbing Kelantan FC, Perlis, Felcra FC, Projek FAM-MSN dan KL City FC.

Namanya cukup dikenali penyokong Selangor kerana membantu pasukan itu muncul juara Piala FA (2001) dan Piala Malaysia (2002) sebagai pemain.

5. P. Maniam

Nama P. Maniam cukup sebati dengan sejarah Selangor. Ini kerana beliau pernah merasai nikmat juara Piala FA (1991) dan Piala Malaysia (1995-1996) sebagai pemain di bawah bimbingan jurulatih legenda dari Australia, Ken Worden.

Beliau juga menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan Merah Kuning yang meraih kejuaraan Liga Super (2009-2010) dan Piala Malaysia (2015). Maniam turut berpeluang melatih pasukan itu dari 2017 hingga 2018.

Selain Selangor, Maniam juga pernah melatih skuad Malaysia B-16, PJ City FC, Harini FT dan Petaling Jaya Rangers. Beliau kini menggalas peranan sebagai pengendali PDRM FC.

Maniam menjadikan pasukan itu berupaya memberi cabaran hebat kepada pasukan-pasukan berstatus gergasi seperti Selangor dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC). Ini terbukti apabila kedua-dua pasukan itu diikat 1-1 oleh Sang Saka Biru untuk musim 2024/25.