Bekas jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu meneruskan karier kejurulatihannya di luar negara.
Cheng Hoe mencipta sensasi apabila memilih meninggalkan Selangor FC dan menerima tawaran kelab Thailand, Police Tero pada Mac lalu.
Usaha jurulatih berusia 56 tahun itu untuk mengekalkan Police Tero dalam Thai League 1 musim 2023/24 tidak kesampaian apabila pasukan itu tersingkir ke saingan Thai League 2.
Sepanjang tiga bulan membimbing The Silver Shield Dragons, Cheng Hoe hanya melakar dua kemenangan, tiga keputusan seri dan enam kekalahan. Susulan itu, pengurusan Police Tero memilih untuk melepaskan beliau dan membawa masuk Thawatchai Damrong-Ongtrakul sebagai pengganti.
Meskipun hanya merasai karier kejurulatihan yang singkat di bumi Thailand, itu tidak mematahkan semangat Cheng Hoe untuk terus berkelana di luar negara.
“Waktu ini saya juga mencari kerjaya saya untuk diteruskan sebagai jurulatih. Mana-mana kelab dari luar negara. Saya mahu teruskan karier kejurulatihan saya.
“Sudah tentu saya mahu lebihkan tumpuan kerjaya saya di luar negara kerana terlalu singkat (tempoh) saya di Thailand, hanya tiga bulan. Saya berharap karier kejurulatihan saya akan dapat diteruskan di masa hadapan nanti,” katanya seperti yang dilaporkan Harimau Malaya.
Selain Selangor, Police Tero dan Harimau Malaya, Cheng Hoe juga pernah membimbing Kedah dari 2014 hingga 2017.
Musim 2023 menyaksikan beliau membimbing Merah Kuning bergelar naib juara Liga Super sekaligus layak ke saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Kini, peranan pengendali Selangor digalas Nidzam Jamil untuk mengharungi musim 2024/25.