Selepas Man Utd memecat Erik ten Hag, kekosongan jawatan jurulatih di Old Trafford kembali menjadi tumpuan penyokong.
Meskipun meraih dua trofi dalam tempoh dua tahun empat bulan bersama United, kemerosotan pasukan itu pada musim 2024/25 mendorong pasukan itu memecat ten Hag.
Berikut lima calon jurulatih yang berpotensi mengisi kerusi panas di Old Trafford sekiranya diberi peluang oleh pemegang saham minoriti The Red Devils, Sir Jim Ratcliffe.
1. Ruben Amorim
Jurulatih Sporting Lisbon, Ruben Amorim disebut-sebut antara calon yang berpotensi menggantikan ten Hag.
Sejak melatih pasukan itu pada 2020, Amorim bukan saja membantu pasukan itu muncul juara liga sebanyak dua kali pada 2020/21 dan 2023/24. Malah, bekas jurulatih Braga itu turut membantu Sporting muncul juara Taca da Liga pada 2020/21 dan 2021/22.
Selain dikenali kerana menggunakan formasi 3-4-3, beliau juga suka menggilap bakat pemain-pemain muda menjadi bintang bertaraf dunia. Antara pemain yang menyerlah di Lisbon ialah Goncalo Inacio, Trincao dan Marcus Edwards.
Nama Amorim juga dikenali beberapa pemain United kerana beraksi menentang mereka sebagai pemain. Antara yang pernah beraksi menentang pengendali Portugal itu ialah Christian Eriksen dan Jonny Evans.
2. Gareth Southgate
Bekas pengurus England itu merupakan antara calon yang dicanang selepas Ratcliffe menjadi pemegang saham minoriti United pada awal tahun 2024.
Dianggap antara jurulatih England yang paling berjaya, Southgate membawa pasukan itu layak ke final EURO sebanyak dua kali. Beliau turut membantu The Three Lions layak ke separuh akhir Piala Dunia 2018.
Selepas meletak jawatan sebagai jurulatih England pada musim panas lalu, statusnya sebagai ejen bebas dijangka menarik minat Ratcliffe untuk merekrutnya.
Meskipun begitu, United perlu menyakinkannya untuk mengubah pendirian mengambil alih kelab di pertengahan musim. Ini kerana bekas pengendali Middlesbrough itu memaklumkan beliau mahu menggunakan tempoh setahun untuk berehat sebelum kembali menjadi jurulatih.
3. Graham Potter
Selain Southgate, nama Graham Potter turut berada dalam Ratcliffe selepas menjadi pemegang saham minoriti The Red Devils.
Jurulatih berusia 49 tahun itu dikenali di Brighton bukan saja kerana mengamalkan corak permainan yang menarik. Malah, beliau turut bertanggungjawab menggilap ramai bakat muda seperti Tariq Lamptey, Alexis MacAllister dan Moises Caicedo.
Reputasi ini juga yang membawanya ke Chelsea pada September 2022. Walau bagaimanapun, Potter hanya bertahan selama 31 perlawanan sebelum dipecat pada April 2023.
Selain Brighton dan Chelsea, anak jati Solihull itu juga pernah melatih Swansea City dan Ostersund. Sejak meninggalkan The Blues, Potter berstatus ejen bebas dan mencari peluang sesuai untuk kembali ke dunia kejurulatihan.
4. Xavi Hernandez
Nama legenda Barcelona ini cukup dikenali ramai sebagai jeneral tengah yang kreatif. Bukan sedikit trofi yang dimenangi Xavi seperti Piala Dunia 2010, EURO 2012, La Liga dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Selepas menggantung but pada 2019, reputasinya sebagai pemenang trofi diteruskan bila bergelar jurulatih kelab Qatar, Al-Sadd dan Barcelona. Antara trofi yang dimenangi Xavi di kedua-dua kelab berkenaan ialah Amir Cup, Qatar Stars League dan La Liga.
Jurulatih berusia 44 tahun itu berharap tidak berdepan gangguan politik di kelab baru seperti yang dialaminya di Nou Camp. Ini kerana Xavi tidak memiliki hubungan yang baik dengan presiden kelab, Joan Laporta.
Selepas meninggalkan Barca pada musim panas 2024, Xavi masih lagi berstatus ejen bebas. Beliau juga dilaporkan mahu meneruskan karier kejurulatihannya di luar Sepanyol – satu perkara yang dilaporkan menarik minat pengurusan United.
Selain United, khidmat Xavi turut diintai Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA). Ini kerana QFA melihatnya sebagai pengganti ideal sebagai jurulatih skuad kebangsaan Qatar.
5. Ole Gunnar Solskjaer
Nama Solskjaer antara calon mengejut yang dipertimbang pengurusan United sebagai pengganti ten Hag.
Cukup dikenali sebagai figura di sebalik kejayaan era emas United semasa dibimbing Sir Alex Ferguson, jurulatih Norway berusia 51 tahun itu menjadi pengurus pasukan itu dari 2019 hingga 2022.
Selain United, Solskjaer juga pernah menjadi jurulatih Molde FK dan Cardiff City. Beliau kini menggalas peranan sebagai penganalisis perlawanan untuk UEFA sejak Januari 2023.
Meskipun sibuk dengan peranannya di UEFA, beliau bersedia untuk kembali ke Old Trafford seandainya diperlukan oleh pengurusan United.
“Jika keluarga anda perlukan anda, sudah tentu mereka akan membantu. Saya akan kata ya pada bila-bila masa. Rasa salah untuk duduk dan bercakap tentang jawatan yang digalas oleh orang lain. Tetapi sudah tentu ya,” katanya seperti yang dilaporkan Daily Mail.
Tidak kira siapa calon yang dipilih United, pengendali interim, Ruud van Nistelrooy fokus mempersiapkan pasukan untuk aksi Carabao Cup menentang Leicester City pada awal pagi 31 Oktober.