Advertisement
Qatar & Manchester United Berebut Xavi
EPL
MakanBola
FC Barcelona

Nama bekas jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez kini dicanang sebagai calon yang berpotensi menggantikan pengurus Manchester United, Erik ten Hag.

Akhbar Daily Mail melaporkan United sudah berhubung dengan jurulatih berusia 44 tahun itu melalui perantara sebanyak dua kali pada September lalu.

Khabar angin ini diperkuatkan lagi dengan siri mesyuarat membabitkan barisan eksekutif The Red Devils diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) United, Omar Berrada di Barcelona baru-baru ini.

Meskipun United menegaskan tetap memberi sokongan kepada ten Hag, ramai penyokong menjangkakan Xavi antara calon yang berpotensi sebagai pengurus baru pasukan itu.

Legenda Barca itu dikatakan tertarik dengan tugas berkenaan kerana menginginkan cabaran baru di luar Sepanyol. Ini kerana sebelum ini, Xavi menyatakan tidak mahu menerima tawaran kejurulatihan di negara itu.

Walau bagaimanapun, United perlu bertindak segera jika mahu melihat legenda Sepanyol itu di Old Trafford. Ini kerana Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) dilaporkan turut berminat mendapatkan Xavi.

Legenda Barcelona itu bukan asing dengan bola sepak Qatar kerana pernah beraksi di negara itu dari 2015 hingga 2019. Xavi turut melatih kelab Qatar, Al-Sadd dari 2019 hingga 2021.

Pemenang Piala Dunia 2010 itu dilihat calon ideal untuk menggantikan rakan senegara, Tintin Marquez Lopez sebagai jurulatih Qatar.

Kedudukan Lopez terancam selepas Qatar mempamerkan prestasi buruk dalam empat perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026. Ini termasuk seri 1-1 dengan Korea Utara dan tewas 4-1 kepada Iran.

Selain Xavi, bekas jurulatih Borussia Dortmund, Edin Terzic dan pengurus Sporting Lisbon, Ruben Amorim turut dicanang sebagai calon pengganti ten Hag.

Meskipun begitu, ramai peminat bola sepak melihat Amorim sebagai pengganti jangka panjang Pep Guardiola di Manchester City. Ini disebabkan jurulatih Sepanyol itu masih belum memperbaharui kontraknya yang tamat pada akhir musim 2024/25.