Juara Piala Asia 2023, Qatar dilaporkan mahu mendapatkan legenda Barcelona, Xavi Hernandez.
Kedudukan jurulatih Al-Annabi, Tintin Marquez Lopez dilaporkan dalam bahaya susulan prestasi buruk pasukan itu dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
Selepas empat perlawanan Kumpulan A, Qatar kini di tangga keempat dengan empat mata. Pasukan itu hanya merekodkan satu kemenangan, satu keputusan seri dan dua kekalahan.
Kedudukan Lopez tidak dibantu dengan dua kekalahan di tangan dua pasukan serantau, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iran. Qatar tewas 3-1 kepada UAE pada 5 September lalu.
Meskipun beraksi di gelanggang neutral, itu tidak menghalang Team Melli membelasah Al-Annabi 4-1 pada awal 16 Oktober. Mohammed Mohebi dan Sardar Azmoun masing-masing menyumbang dua gol buat Iran.
Kini, akhbar Al-Raya melaporkan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) dikatakan berminat menyunting khidmat Xavi sebagai jurulatih baru Qatar.
Ini selepas bekas jurulatih Barca berusia 44 tahun itu dilaporkan berada di Doha atas urusan yang tidak dinyatakan. Ramai peminat bola sepak Qatar percaya ini menandakan tempoh Lopez sebagai pengendali pasukan itu bakal berakhir.
Selepas dilantik sebagai jurulatih Al-Annabi pada akhir tahun 2023, jurulatih Sepanyol berusia 62 tahun itu membantu Qatar muncul juara Piala Asia 2023.
Xavi bukan asing dengan arena bola sepak Qatar. Ini kerana selain menamatkan karier bola sepaknya bersama kelab Al-Sadd, beliau juga pernah melatih pasukan itu dari 2019 hingga 2021.
Sekiranya Xavi menerima tawaran QFA, beliau bakal menjadi jurulatih kelima Qatar dalam tempoh tiga tahun. Selepas memilih berpisah dengan Felix Sanchez pada 2022, QFA melantik Bruno Pinheiro (2022-2023), Carlos Queiroz (2023) dan Lopez sebagai jurulatih.
Selepas dipecat Barca pada Mei lalu, Xavi ada menerima beberapa tawaran daripada beberapa kelab termasuk di Eropah. Walau bagaimanapun, beliau menolak tawaran yang dikemukakan atas alasan mencari projek yang sesuai dan mahu menghabiskan masa bersama keluarga.
Qatar bakal berdepan Uzbekistan untuk aksi Kumpulan A seterusnya pada 14 November ini. Ini disusuli aksi timbal balik kumpulan menentang UAE pada 19 November.