Aksi ke-14 Liga Super dihangatkan dengan pertembungan antara dua gergasi Liga Super, Selangor vs JDT di Stadium MBPJ.
Skuad kendalian Nidzam Jamil bakal melayan kunjungan Harimau Selatan selepas melakar kemenangan bergaya 2-1 ke atas Jeonbuk Hyundai.
Juara Piala FA 2024, JDT mengalami kekalahan pertama musim 2024/25 apabila tunduk di tangan wakil Korea, Gwangju FC dengan keputusan 3-1 di tempat lawan.
Perlawanan antara Gergasi Merah dan JDT ini dihiasi dengan beberapa fakta penting tatkala kehangatannya sudah mula dirasai oleh para penyokong.
JDT melakar kemenangan besar 4-0 ketika bertemu Selangor di Stadium MBPJ pada Mac 2023 yang menyaksikan dua lagi kemenangan diraih iaitu 2-0 di laman sendiri dan keputusan 4-0 pada aksi separuh akhir Piala Malaysia 2023.
Rentetan kemenangan itu berjaya dikekalkan oleh anak buah Hector Bidoglio apabila menumpaskan Merah Kuning pada aksi final Piala FA 2024 di Bukit Jalil dengan keputusan 6-1.
Aksi ini juga bakal melibatkan pertembungan dua penyerang paling prolifik dalam saingan Liga Super iaitu Bergson dan juga Ronnie Fernandez.
Peledak kelahiran Brazil itu kini mendahului carta penjaring terbanyak dengan 14 gol sementara diekori rapat oleh penyerang Selangor, Ronnie Fernandez dengan 8 gol setakat ini.
Selangor memegang rekod kebal apabila beraksi di laman sendiri pada musim ini. Pasukan Lembah Klang itu mencatatkan 5 kemenangan bersih dalam aksi terakhir di MBPJ sekaligus memberikan cabaran hebat buat JDT malam esok.
JDT juga memiliki rekod yang agak baik apabila beraksi di laman lawan dalam saingan domestik musim ini apabila mencatatkan kemenangan bersih dalam 5 aksi terakhir di tempat lawan untuk membuktikan persediaan turun ke MBPJ.
Selangor bagaimanapun terpaksa akur dengan rekod kurang baik yang dipegang ketika berdepan JDT apabila hanya menang 4 kali dalam 31 pertemuan terakhir.
Selangor juga hanya menang tiga kali apabila beraksi di laman sendiri menentang anak buah Hector Bidoglio sementara berjaya dibolosi 73 kali oleh jaguh Malaysia itu dalam 31 aksi yang diharungi.
Aksi antara Selangor dan JDT akan berlangsung pada 27 Oktober jam 8:15 malam.