Aksi ke-14 Liga Super menyaksikan pertembungan hangat antara Selangor menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Skuad kendalian Nidzam Jamil dalam momentum terbaik apabila mencatatkan kemenangan berdepan wakil Korea, Jeonbuk Hyundai pada aksi AFC Champions League Two (ACL2).
Gergasi Merah melakar kemenangan 2-1 sekaligus membawa momentum terbaik berdepan skuad Harimau Selatan yang tunduk 3-1 menentang Gwangju tempoh hari.
Pertembungan di Stadium MBPJ ini menghangatkan saingan antara dua pasukan terbaik Malaysia ini dengan kali terakhir bertemu pada aksi final Piala FA 2024.
Aksi yang berlangsung pada Ogos itu menyaksikan anak buah Hector Bidoglio melakar kemenangan besar 6-1 berdepan Selangor di Bukit Jalil.
JDT memiliki rekod baik pada 5 aksi terakhir selepas menang tiga perlawanan berdepan Kelantan United, Kuching City dan juga Shanghai Shenhua sementara seri berdepan Shanghai Port dan tewas kepada Gwangju.
Selangor pula kebal selepas tidak tewas dalam 5 pertemuan terakhir dalam semua kejohanan untuk memberikan cabaran terhebat kepada pasukan pelawat.
Pertemuan Selangor vs JDT adalah pada 27 Oktober jam 8:15 malam di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.