5 kelab terkemuka berjaya memintas kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Asia.
Skuad kendalian Hector Bidoglio cemerlang merekodkan dua kemenangan, dua seri dan dua kekalahan selepas 6 aksi di AFC Champions League Elite (ACLE).
Harimau Selatan menerima tentangan hebat daripada wakil Thailand, Buriram United yang menyaksikan tuan rumah terpaksa berpuas hati untuk berkongsi mata selepas berjuang dengan 9 pemain.
Dua aksi terakhir menyaksikan JDT hanya mengutip satu mata sekaligus memberikan kesan kepada kedudukan ranking semasa pasukan.
Menerusi kemas kini oleh laman Opta Analyst, JDT kini mengumpul 79.8 mata dan berada pada kedudukan ke-10 (278 di dunia) sekaligus menunjukkan penurunan berbanding kedudukan ke-5 tempoh hari.
Beberapa kelab seperti Al-Ittihad (4), Al-Ahli (6), Yokohama F. Marinos (7), Kashima Antlers (8) dan juga Shabab Al-Ahli (9) telah memintas kedudukan wakil tunggal Malaysia itu susulan prestasi cemerlang di ACLE.
JDT bagaimanapun kekal penyumbang tertinggi mata AFC MA Ranking Malaysia dengan 11 mata berbanding Selangor (6.667) sekaligus meletakkan Malaysia di tangga ke-6 Asia Timur.
Pasukan milik DYAM Tunku Ismail masih memiliki peluang untuk layak ke pusingan kalah mati apabila bakal menempuhi dua aksi terakhir kumpulan pada bulan Februari ini.
JDT masih meneruskan perjuangan dalam saingan domestik apabila beraksi pada aksi suku akhir Piala Malaysia dan juga memburu kejuaraan ke-11 Liga Super.