Advertising
5 Kelibat Watak Tumpuan Meriahkan Aksi Thailand vs Malaysia
MakanBola
Changsuek/FAM

Aksi ketiga peringkat kumpulan A Asean Mitsubishi Electric Cup di antara Thailand vs Malaysia bakal menjadi tumpuan dengan kehadiran 5 pemain utama ini.

Setelah mencatatkan 1 kemenangan dan 1 keputusan seri, pasukan negara bimbingan Pau Marti terbang ke Bangkok untuk berdepan satu misi getir menentang juara bertahan, Thailand.

Ad

Manakala Thailand berada dalam momentum terbaik setelah melakarkan kemenangan 10-0 ke atas Timor Leste pada aksi pertama Ahad lalu dan bakal menerima suntikan semangat di hadapan penyokong sendiri.

Ad

Di sebalik aksi hangat Thailand vs Malaysia, 5 watak penting ini dijangka menjadi tumpuan ramai khususnya para peminat kedua-dua pasukan.

1- Paulo Josue

Ad

Dengan masalah kecederaan yang dialami barisan serangan negara kini, kelibat Paulo Josue sudah pasti menjadi taruhan utama Pau Marti untuk merobek pintu gol Thailand pada aksi ini.

Ad

2 gol yang dijaringkan oleh penyerang KL City ini meletakkan Paulo Josue sebagai antara penjaring terbanyak dan menjadi watak yang bakal dirantai oleh pertahanan Thailand diketuai Pansa Hemviboon.

Ad

2- Danial Amier

Kembali menyarung jersi negara setelah 5 tahun, Danial atau lebih mesra disapa Boy dilihat tidak kekok dalam perlawanan pertamanya ketika bertemu Timor Leste apabila merekodkan 89% ketepatan hantaran.

Malah, dengan ketiadaan Stuart Wilkin pada aksi kali ini, Pau Marti berkemungkinan besar bakal memberi peranan penting buat Boy mengemudi jentera tengah bersama Sergio Aguero dan Endrick Dos Santos.

3- Harith Haiqal

Bek Selangor ini kembali menyertai pasukan setelah terlepas aksi pembukaan berdepan Kemboja lalu dan menjadi pilihan Pau Marti untuk diturunkan ketika menewaskan Timor Leste pada Rabu lalu.

Kini, kelibat Harith Haiqal dijangka menjadi tunjang penting untuk mengetuai benteng negara dengan ketiadaan 2 lagi bek, Dominic Tan dan Daniel Ting yang dipanggil pulang oleh Sabah.

4- Suphanat Muenta

Nama Suphanat ini pastinya menjadi igauan buat pertahanan lawan khususnya di sayap kiri apabila larian deras di sebelah kanan dan penyudah berbisa menjadi aset penting bekas pemain OH Leuven di Liga Belgium ini.

Walaupun baru berusia 22 tahun, namun Suphanat sudah mengumpul 25 kaps dan mencetak 11 jaringan untuk skuad kebangsaan Thailand termasuklah 2 gol ketika membelasah Timor Leste minggu lalu.

5- Patrik Gustavsson

Posisi penyerang bagi skuad Gajah Perang dijangka menjadi milik Gustavsson dengan pemain Nara United di J3 League ini sudah membuktikan ketajaman dengan dua gol dalam dua penampilan buat Thailand.

Impak segera pemain kelahiran Sweden ini pastinya ditagih oleh Masatada Ishii untuk menembusi pintu gol Malaysia dan tugas berat menanti bek negara untuk mengawal gerak-geri Gustavsson ini.

Aksi Thailand vs Malaysia dijadualkan berlangsung pada 14 Disember, jam 9 malam di Stadium Rajamangala, Bangkok dengan info siaran langsung boleh didapati di sini.