Lima buah negara dari Asia Tenggara berjaya mencatatkan peningkatan dalam ranking FIFA terbaharu.
Menerusi kemas kini ranking terbaharu oleh pihak FIFA pada Khamis, menyaksikan kedudukan lima negara yang berada di rantau Asia Tenggara melonjak naik secara positif.
Thailand kini sudah menembusi kelompok 100 terbaik dunia dengan tambahan mata ranking 4.5 mata yang diraih ketika menewaskan Vietnam dalam Tri Nations Cup untuk naik satu anak tangga.
Peningkatan mendadak Indonesia di bawah bimbingan Shin Tae-yong pula menyaksikan posisi Sang Garuda meningkat dua anak tangga ke tempat 129, setelah mengikat Arab Saudi dan Australia.
Kejayaan Harimau Malaya menjulang kejuaraan Pestabola Merdeka lalu turut melonjakkan kedudukan Malaysia yang kini berada di ranking 132 dunia dengan tambahan 10.96 mata.
Negara yang mencatat peningkatan tertinggi adalah Brunei dengan lonjakan sebanyak 7 anak tangga dari kedudukan ke-190 setelah mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia.
Laos turut tidak ketinggalan untuk meningkat ke ranking 187 dunia meskipun tiada tambahan mata yang dikutip setelah tiada perlawanan diatur pada tempoh aksi antarabangsa lalu.