Aksi membabitkan New Zealand vs Malaysia menyaksikan lima pemain bakal menjadi tumpuan ramai.
Skuad Harimau Malaya bimbingan Pau Marti kini berada di Auckland sejak Isnin lalu bagi persediaan awal menghadapi perlawanan persahabatan bertemu New Zealand di North Harbour Stadium.
Salah satu persiapan dilakukan adalah mengadakan aksi pemanas badan bertemu Auckland FC yang menyaksikan keputusan terikat 1-1 dengan Nooa Laine menjaringkan gol tunggal skuad negara.
Manakala New Zealand pula baru pulang dari Vanuatu untuk aksi Kelayakan Piala Dunia zon Oceania berdepan Tahiti pada Jumaat dengan skuad All Whites mudah meraih kemenangan 3-0.
Maka, perlawanan di antara New Zealand vs Malaysia bakal menjadi hangat dengan tumpuan terarah kepada lima pemain utama kedua-dua pasukan.
1- Arif Aiman
Kelibat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ini pastinya akan ditagih Pau Marti di jentera sayap untuk mengucar-kacirkan benteng kiri New Zealand yang dijangka bakal diisi Liberato Cacace.
Berdasarkan prestasi semasa, Arif Aiman kini berada di tahap terbaik setelah mempamer aksi cemerlang bersama JDT di pentas Asia sebelum ini dan berada dalam senarai penjaring terbanyak ACLE.
2- Stuart Wilkin
Maestro Sabah ini kembali perkuat Harimau Malaya setelah disisihkan ketika Pestabola Merdeka yang lalu dan dijangka digandingkan bersama Syamer Kutty dan Endrick Dos Santos di jentera tengah.
Meskipun baru pulih dari kecederaan, namun kerajinan Wilkin membantu bahagian pertahanan dan serangan sudah pasti menjadi aset penting selain miliki kebolehan melakukan percubaan dari jarak jauh.
3- Matt Davies
Ketiadaan kapten pasukan, Dion Cools ketika ini menyaksikan Matt Davies bakal memakai lilitan kapten untuk mengetuai bukan sahaja benteng pertahanan bahkan barisan pemain negara nanti.
Pertahanan berusia 29 tahun ini sudah memiliki 50 kaps bersama Harimau Malaya sejak 2015 dan bakal menjadi nadi penting buat benteng pertahanan negara mengekang asakan New Zealand.
4- Chris Wood
Penyerang Nottingham Forest ini sudah semestinya menjadi sandaran utama Darren Bazeley bagi merobek kubu Malaysia dengan Wood kini berada dalam momentum terbaik setelah mencetak gol menewaskan Tahiti.
Bahkan, pemain berusia 32 tahun ini juga sudah mengumpul empat gol dalam 7 perlawanan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan bakal memberi ujian hebat buat benteng negara.
5- Marko Stamenic
Meski baru berusia 22 tahun, Stamenic dilihat sebagai nadi di jentera tengah skuad All Whites dengan memainkan peranan penting untuk mengawal tempo permainan pasukan selain mematahkan serangan lawan.
Tonggak tengah Olympiacos ini memiliki 23 kaps bersama New Zealand sejak kali pertama menyarung jersi pasukan pada 2021 ketika berusia 19 tahun dan sudah mencetak satu gol.
Pertemuan dua pasukan ini bakal berlangsung pada 14 Oktober 1024 jam 2 petang di Stadium North Harbour, Auckland.