Advertisements
5 Perkara Positif Dalam Aksi India vs Malaysia
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

India berjaya ikat kemaraan Malaysia di Hyderabad dengan keputusan seri 1-1. Suka atau tidak, keputusan ini bukanlah pilihan utama rakyat Malaysia yang sudah tentu mahukan kemenangan mutlak di tempat lawan.

Berikut merupakan 5 perkara positif yang berjaya dikesan penulis untuk tatapan umum:

Selamat Datang Fazrul Amir

Selamat datang Fazrul Amir ke Harimau Malaya! Fazrul Amir yang masih berumur 24 tahun memberikan Malaysia ‘tenaga tambahan’ yang sebelum ini dihasilkan oleh Faisal Halim. Kelincahannya di atas padang tidak terhad kepada skil individu semata-mata sebaliknya beliau menzahirkan keyakinan walaupun baru dipanggil ke kem Malaysia. Setiap pergerakannya menggusarkan pihak lawan.

Perjalanan beliau masih jauh namun penyokong sudah tentu teruja untuk menyaksikan aksinya lagi selepas ini bersama Harimau Malaya.

Fizikal & Keyakinan Fergus Tierney

Penyerang naturalisasi dari Scotland ini sedang menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan. Setiap gerakkannya diselangi dengan kekuatan fizikal yang cukup ampuh selain keyakinan yang dizahirkan amat tinggi. Tandukkannya pada masa tambahan sebelum tamat perlawanan hampir-hampir memberikan Malaysia kemenangan mutlak namun tiang menjadi penghalang.

Nampaknya kita sudah ada penyerang masa hadapan Harimau Malaya yang cukup berkeyakinan tinggi dan beliau masih berumur 21 tahun!

Akhyar & Safawi Kembali Ke Prestasi Terbaik

Akhyar Rashid jelas berada dalam prestasi terbaik. Beliau dengan mudah membuat larian masuk ke kawasan kotak penalti India dan berjaya mengekalkan konsistensi prestasi sepanjang perlawanan.

Selain itu, Safawi Rasid juga dilihat mula mendapat sentuhan asalnya namun masih mencari rentak yang selama ini hilang. Sekurang-kurangnya, beliau juga menunjukkan peningkatan prestasi dan keyakinan diri.

Perubahan Taktikal Yang Unik

Sesuatu yang menghairankan apabila Pau Marti membuat keputusan membawa keluar dua pemain yang menunjukkan prestasi baik pada separuh masa pertama. Kita melihat bagaimana kedua-dua pemain yang dikeluarkan; Akhyar dan Haqimi beberapa kali berjaya membawa bola ke hadapan dengan pantas dan memberi masalah besar kepada India namun sedikit demi sedikit, jelas kelihatan Pau Marti ingin mengubah taktikal agar bola masuk dari tengah berbanding tepi.

Tindakan berani Pau Marti yang wajar diberikan pujian.

Variasi Pemain Baru

Kepulangan pemain utama Malaysia seperti Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi sedikit menggusarkan kem Malaysia. Walaubagaimanapun jika dipandang dari sudut positif, Pau Marti berpeluang menguji cuba pemain-pemain baru seperti Fazrul Amir, Fergus Tierney dan lain-lain.

Hakikatnya Malaysia memerlukan variasi pemain yang lebih banyak dan tidak boleh terlalu fokus pada pemain-pemain tertentu sahaja.

Kesimpulan

Ini bukanlah aksi terbaik Malaysia namun kita berhadapan dengan pasukan di ranking lebih baik. Malaysia juga beraksi dengan segala kekurangan namun para pemain dan berisan kejurulatihan sudah jalankan tugas dengan baik. Selamanya Harimau Malaya!