Advertisements
India Ikat Kemaraan Malaysia Di Hyderabad
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia merekodkan keputusan seri ketika berdepan India dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Hyderabad pada Isnin.

Selepas mencatat kemenangan bergaya ke atas Laos minggu lalu, skuad kebangsaan terbang ke Hyderabad untuk menguji kekuatan India yang kini berada di kedudukan ke-125 dunia.

Pengendali negara, Pau Marti hanya mengekalkan 4 pemain di dalam kesebelasan utama diketuai Dion Cools sementara India mempertaruh duo Chennaiyin, Irfan Yadwad dan Farukh Choudhary.

Walaupun pasukan negara terlebih dahulu menguji pintu gol lawan, namun penguasaan bola jelas memihak tuan rumah yang mengawal permainan dengan corak hantaran pendek.

Kebuntuan jaringan terlerai di minit ke-18 apabila penyerang negara, Paulo Josue menghukum kesilapan penjaga gawang India, Gurpreet Singh untuk meletakkan Malaysia di hadapan 1-0.

Kelebihan tersebut tidak bertahan lama setelah bek kanan India, Rahul Bheke kembali menyamakan kedudukan hasil tandukan deras berpunca dari sepakan sudut pada minit ke-38.

Separuh masa pertama tamat, India 1-1 Malaysia.

Kembali dari rehat, asakan hebat terus diberikan oleh jentera serangan India ke arah kubu pasukan negara dengan Syihan Hazmi tenang mengawal gawang sambil dibantu pertahanan.

Sepakan gunting yang dilakukan oleh pemain gantian, Safawi Rasid hampir mengejutkan para pemain India, namun malang percubaan itu sedikit tersasar melepasi sebelah kiri tiang gol.

Peluang terbaik untuk Harimau Malaya hadir di penghujung aksi apabila tandukan Fergus Tierney terkena tiang sebelum percubaan susulan Safawi Rasid ditepis oleh Gurpreet Singh.

Aksi di Stadium Gachibowli berakhir dengan keputusan 1-1.

Selepas ini, Pau Marti ditugaskan mempersiap pasukan bagi menghadapi AFF Mitsubishi Electric Cup dengan Kemboja bakal menjadi lawan pertama Malaysia di Phnom Penh.