Tonggak tengah Harimau Malaya, Stuart Wilkin membawa impak segera bagi membantu Malaysia menumpaskan Laos.
Malaysia turun berdepan Laos pada Khamis sebagai salah satu aksi persahabatan sempena Jelajah Harimau Malaya di Jendela Antarabangsa FIFA bulan November ini.
Dalam aksi tersebut, skuad negara tampil cemerlang untuk memimpin perlawanan menerusi tandukan deras oleh Harith Haiqal seawal minit ke-6 permainan berpunca dari sepakan penjuru Nooa Laine.
Walau bagaimanapun, kelebihan awal skuad kebangsaan itu berjaya dipadam dengan gol penyamaan oleh pemain Laos, Kydavone Souvanny pada minit ke-33 untuk kedudukan 1-1 kekal sehingga rehat.
Di separuh masa kedua, Pau Marti mengubah percaturan dengan membawa masuk beberapa nama seperti Fergus Tierney, Daniel Ting dan Stuart Wilkin pada minit ke-62.
Kemasukan Wilkin ternyata membawa impak segera buat Malaysia apabila berhasil memperoleh sepakan penalti setelah dikasari oleh lawan 15 saat selepas dimasukkan.
Tugas tersebut disudahkan dengan baik oleh pemain tengah Sabah tersebut untuk kembali meletakkan pasukan negara di hadapan sekaligus menceriakan kem kebangsaan.
Perlawanan di Stadium PAT berakhir dengan keputusan 3-1 memihak Malaysia dengan satu lagi jaringan disumbangkan oleh Sergio Aguero juga menerusi sepakan penalti pada minit ke-83.
Selepas ini, Harimau Malaya bakal terbang ke Hyderabad untuk beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan bertemu India pada 18 November hadapan.