Penjaga gawang India, Gurpreet Singh Sandhu mahu rakan sepasukan segera melupakan kekalahan di tangan Malaysia ketika bertemu di Bukit Jalil tahun lalu.
Skuad negara bakal berdepan India dalam satu perlawanan persahabatan setelah cemerlang menewaskan Laos hasil tiga gol daripada Harith Haiqal, Stuart Wilkin dan Sergio Aguero.
Sementara India pula pastinya turun dengan misi besar bagi memburu kemenangan pertama apabila hanya merekodkan 4 keputusan seri dan 6 kekalahan dalam 10 perlawanan lalu.
Kali terakhir India dan juga Malaysia bertemu adalah pada 13 Oktober 2023 ketika aksi separuh akhir Pestabola Merdeka yang menyaksikan Harimau Malaya meraih kemenangan 4-2.
Empat gol menerusi Dion Cools, Arif Aiman, Faisal Halim dan Corbin Ong berjaya memastikan kemenangan di Bukit Jalil menjadi milik negara yang ketika itu dibimbing oleh Kim Pan-gon.
Mengimbau kenangan beraksi di Bukit Jalil, Gurpreet Singh menganggap ianya satu pengalaman yang berbeza meskipun terpaksa akur tumpas kepada Malaysia kerana tidak bernasib baik.
“Ia adalah pengalaman berbeza bermain di Malaysia. Mereka pasukan yang baik serta ramai muka baharu yang berkualiti datang dari tempat lain membantu mereka,” kata Gurpreet kepada AIFF.
“Kami mungkin mendapat sesuatu yang lebih daripada aksi itu. Ia adalah satu keputusan yang tidak bernasib baik untuk kami, mengetahui bahawa kami menjaringkan gol yang tidak dibenarkan.”
Walau bagaimanapun, Gurpreet melihat kekalahan tersebut sebagai satu adat dalam sukan bola sepak dan mahu segera melupakannya menjelang perlawanan berdepan Malaysia di Hyderabad.
“Perkara seperti itu sering berlaku dalam bola sepak kami perlu mengetepikan apa yang berlaku pada masa lalu,” ujar bekas pemain kelab Stabaek di Liga Denmark itu.
India dan Malaysia bakal bertemu dalam aksi persahabatan pada Isnin di Stadium Gachibowli, Hyderabad dengan sepak mula perlawanan dijadualkan jam 10 malam waktu Malaysia.