ACL

Gol Stoichkov Bawa Sejarah Besar Buat JDT

Stoichkov JDT Gol Stoichkov Bawa Sejarah Besar Buat JDT
Johor Southern Tigers
Advertisements

Gol jaringan Juan Molina Martinez atau lebih dikenali sebagai Stoichkov ketika kemenangan 3-0 Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Port FC dalam aksi Peringkat Liga Zon Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2026-27 mencipta satu lagi sejarah buat Harimau Selatan.

Jaringan pada minit ke-86 itu merupakan gol ke-1,400 JDT sejak kelab berkenaan ditubuhkan pada 2013, sekali gus menambah satu lagi pencapaian bermakna dalam perjalanan kelab yang terus mengukuhkan kedudukan di pentas bola sepak Asia.

Perkara tersebut turut dikongsikan oleh pihak JDT menerusi satu hantaran terbaharu di laman Instagram rasmi kelab, yang menyorot pencapaian bersejarah Harimau Selatan hasil jaringan pemain kelahiran Sepanyol itu.

Selain mencipta sejarah buat kelab, jaringan tersebut turut membawa makna tersendiri buat Stoichkov apabila ia merupakan gol pertamanya di pentas Asia sejak menyertai JDT pada musim ini.

Dalam pada itu, JDT kini berada pada landasan yang baik dalam saingan ACLE musim ini apabila masih belum tewas selepas mengharungi tiga perlawanan. Harimau Selatan berjaya mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri untuk terus bersaing dalam kelompok teratas Kumpulan A.

Keputusan tersebut menyaksikan JDT menghuni tangga keempat carta liga dengan tujuh mata, di belakang tiga kelab teratas yang kesemuanya merupakan wakil Jepun. Kedudukan itu meletakkan Harimau Selatan dalam situasi positif untuk meneruskan cabaran memburu slot ke pusingan seterusnya.

Pencapaian 1,400 gol serta permulaan positif dalam kempen ACLE pastinya menjadi suntikan semangat buat JDT untuk terus melakar kejayaan di pentas Asia. Dengan momentum yang dimiliki ketika ini, tidak mustahil JDT mampu pergi lebih jauh sekali gus membawa nama bola sepak Malaysia mekar di pentas Asia.