Menjelang aksi terakhir peringkat Kumpulan A Piala ASEAN FIFA, Malaysia dan Singapura memiliki rekod semasa yang sama bagi 5 perlawanan terakhir antarabangsa.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe cemerlang apabila melakar dua keputusan positif awal pada kempen Piala ASEAN FIFA 2026 yang sedang berlangsung di Jakarta, Indonesia.
Harimau Malaya berjaya menewaskan Bangladesh dalam aksi pembukaan dengan keputusan 3-0 sebelum mengikat pasukan yang memiliki nilai pasaran tertinggi Asia Tenggara, Indonesia dalam perlawanan penuh debaran pada Isnin lalu.
3 lagi aksi lampau Harimau Malaya menyaksikan Malaysia tunduk sebanyak 2 kali di tangan Vietnam dalam perlawanan separuh akhir Piala Hyundai ASEAN 2026.
Sebelum itu, Harimau Malaya menumbangkan Filipina dalam aksi terakhir peringkat kumpulan untuk memastikan tempat ke separuh akhir Piala Hyundai ASEAN 2026.
Sementara itu, Singapura turut mencatatkan rekod semasa yang sama seperti Malaysia.
Dalam 2 aksi awal Piala ASEAN FIFA 2026, pasukan julukan Singa itu meraih 1 keputusan menang dengan menewaskan Bangladesh selepas tewas 2-0 kepada Indonesia.
Sebelum itu, Singapura menang tipis ke atas Thailand 2-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala Hyundai ASEAN.
Namun kemenangan tersebut tidak cukup membawa Singa ke perlawanan akhir selepas tewas aksi pertama 3-1 ke atas Gajah Perang.
Perlawanan terakhir peringkat kumpulan menyaksikan Singapura mencatatkan keputusan seri ketika bertembung dengan Indonesia di halaman sendiri.
Kedua-dua pasukan berada pada momentum yang agak baik menerusi dua kemenangan, satu seri dan dua kekalahan dalam lima aksi terakhir sebelum bertemu pada Khamis.
Aksi Malaysia vs Singapura dijadual berlangsung pada 1 Oktober jam 8.30 malam di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Indonesia.