Impian Vietnam untuk mara ke pentas final FIFA ASEAN Cup 2026 berkubur selepas tewas 0-2 kepada Thailand dalam aksi Kumpulan B, sekali gus menamatkan peluang mereka untuk meneruskan langkah ke perlawanan akhir.
Pertahanan kelahiran Perancis-Vietnam, Adou Minh, yang beraksi selama 90 minit di posisi bek tengah sebelah kanan, mengakui Vietnam mempamerkan aksi lebih baik berbanding ketika menentang Filipina sebelum ini.
“Pasukan Vietnam sudah memberikan yang terbaik dan saya rasa ini merupakan perlawanan yang baik. Kami bermain lebih baik berbanding ketika menentang Filipina. Kami banyak bertahan serta saling membantu dan melindungi antara satu sama lain,” luah Adou Minh seperti yang dilaporkan TheThao247.
Pada aksi semalam, usaha Vietnam untuk mengekang Thailand tidak membuahkan hasil apabila Sarach Yooyen membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi rembatan dari jarak kira-kira 20 meter yang gagal diselamatkan Le Giang Patrik meskipun penjaga gol itu sempat menyentuh bola.
Memasuki babak kedua, Vietnam membuat beberapa pertukaran pemain bagi menambah kekuatan di bahagian serangan. Namun, usaha mereka masih belum cukup untuk memecahkan benteng Thailand yang lebih banyak bertahan sambil menunggu peluang melakukan serangan balas.
Thailand kemudian melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan apabila Chaiyaphon Otton berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum berdepan situasi satu lawan satu dengan Le Giang Patrik. Biarpun di dalam situasi yang genting, Pemain Port FC itu tenang menyudahkan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0 sekali gus melayakkan Thailand ke pentas final.
Kekalahan itu nyata mengecewakan Adou Minh dan seluruh kem Vietnam yang terpaksa melupakan impian untuk beraksi di pentas final. Pemain pertahanan itu mengakui kekecewaan tersebut pasti turut dirasai para penyokong serta seluruh rakyat Vietnam.
“Tetapi pada akhirnya, kami tewas. Semua orang sedih, terutamanya para penyokong dan rakyat Vietnam,” katanya.
Vietnam akan menutup kempen Kumpulan B dengan aksi menentang Pakistan, manakala Thailand pula dijadualkan berdepan Filipina dalam perlawanan terakhir kumpulan yang mana kedua-duanya bakal dilangsungkan pada 2 Oktober ini.