Selepas tersingkir dari saingan Piala Asia 2023, seramai tujuh pemain skuad kebangsaan Malaysia berkemungkinan akan melupakan edisi Piala Asia yang seterusnya iaitu Piala Asia 2027.
Ketujuh-tujuh pemain itu akan menjangkau usia 35 tahun sehingga 41 tahun pada tahun 2027 dan untuk beraksi di kejohanan berprestij di Asia pada umur tersebut dilihat agak mustahil untuk berlaku.
Tujuh pemain tersebut adalah Natxo Insa, Brendan Gan, Junior Eldstal, Corbin Ong, Daniel Ting dan pemain naturalisasi, Paulo Josue.
Pada edisi Piala Asia 2027 di Arab Saudi kelak, Natxo Insa sudah menjangkau usia 41 tahun, Brendan Gan pula berusia 38 tahun. Junior Eldtsal, Corbin Ong dan Daniel Ting pula masing-masing akan menjangkau usia 35 tahun pada tahun tersebut.
Dua penyerang skuad kebangsaan, Paulo Josue dan Darren Lok pula bakal menjangkau usia 37 tahun dan juga 36 tahun pada tahun 2027.
Sesuatu mungkin perlu dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membentuk skuad yang lebih mantap bagi melayakkan skuad kebangsaan ke kejohanan berprestij Asia itu secara merit buat kali kedua.
Sudah pasti Piala Asia Bawah 23 tahun yang akan berlangsung pada pertengahan April depan akan menjadi penilaian awal buat Kim Pan-gon untuk membawa pemain-pemain berkualiti dan dinaikkan pangkat ke skuad senior pada masa hadapan.
Untuk kempen Piala Asia B-23 di Qatar April depan, FAM telah meletakkan sasaran untuk mara ke peringkat separuh akhir sekali gus mencerahkan peluang untuk beraksi di Sukan Olimpik 2024 Paris.