Negeri Sembilan FC bakal mengharungi lapan aksi persahabatan sebagai persediaan mengharungi musim 2026/27.
Perkara ini didedahkan jurulatih pasukan itu, Daniel Gimenez apabila ditanya tentang persiapan pramusim Sang Rusa untuk musim ini.
Jurulatih Sepanyol itu memaklumkan pelan perlawanan persahabatan itu bakal dimuktamadkan apabila semua pemain melapor diri untuk pramusim pada 6 Julai ini.
“Kita telah atur lapan aksi persahabatan. Kita akan menentang pasukan yang bagus dari awal lagi, kita tidak mahu ambil jalan mudah. Kita mahu bermula dengan realiti dan itulah idea untuk mengatur tujuh, lapan atau sembilan perlawanan, saya tak tahu.
“Tapi perancangan itu sudah ada dan berkemungkinan pada Isnin (6 Julai ini), kita akan memulakan pramusim,” katanya kepada Malaysian Football League (MFL).
Negeri Sembilan sudah mula membentuk pasukan dengan melepaskan 16 pemain termasuk lima tonggak import. Sang Rusa turut mengambil Mio Tsuneyasu secara tetap selepas menyertai pasukan itu secara pinjaman pada musim lalu.
Gimenez turut menyertai Sang Rusa musim ini sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya, Nidzam Jamil.