Mio Tsuneyasu Milik Negeri Sembilan Secara Tetap
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Pemain sayap Jepun, Mio Tsuneyasu sah kekal bersama Negeri Sembilan FC.

Ini selepas pengurusan The Jangs memaklumkan status Tsuneyasu telah ditukar daripada pemain pinjaman kepada pemain tetap untuk musim 2026/27.

Keputusan tersebut dibuat susulan prestasi menarik yang ditampilkan pemain berusia 24 tahun itu sepanjang bersama Negeri Sembilan secara pinjaman pada musim lalu.

“Selepas mempamerkan aksi cemerlang secara pinjaman pada musim lalu, Negeri Sembilan FC dengan berbesar hati mengumumkan bahawa Mio Tsuneyasu kini bergelar pemain tetap secara rasmi untuk kempen 2026/2027!

“Kelincahan dan kualiti permainan pemain dari Jepun ini sememangnya tidak dapat disangkal. Setiap kali beliau melangkah masuk ke dalam padang, pasti ada impak besar dan perubahan tempo perlawanan yang berjaya dicipta. Dengan rekod lima jaringan gol penting musim lalu, sentuhan berbisa Mio pastinya terus ditagih.

“Selamat kembali ke Tanah Beradat, Mio! Ayuh cipta lebih banyak magis musim ini!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Tsuneyasu menyertai tiga rakan senegara yang dikekalkan Negeri Sembilan untuk kempen musim 2026/27. Trio tersebut ialah Takumi Sasaki, Kei Oshiro dan Yuichi Hirano.

Selain mereka, Sang Rusa turut mengekalkan Wai Lin Aung, Filip Andersen dan bekas bintang Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Jovan Motika.

Lima tonggak import tidak dikekalkan iaitu Joseph Esso, Luis Enrique Nsue, An Sang-su dan Amirul Adli Azmi.