Negeri Sembilan mengucapkan selamat tinggal kepada lima tonggak import pasukan itu yang beraksi pada musim 2025/26.
Lima tonggak tersebut ialah Joseph Esso, Luis Enrique Nsue, An Sang-su, Oday Kharoub dan Amirul Adli Azmi. Perkara ini dinyatakan pengurusan Sang Rusa dalam satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.
“Pihak kelab ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada barisan pemain import yang telah menabur bakti dan berjuang bersama The Jangs sepanjang kempen musim lalu.
“Terima kasih atas segala keringat, komitmen tanpa berbelah bahagi, dan memori indah yang telah kita cipta bersama di atas padang.
“Walaupun haluan kita berbeza pada musim hadapan, sumbangan anda demi lencana di dada akan sentiasa dikenang oleh seluruh penyokong di Tanah Beradat,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Esso, Nsue, Sang-su dan Oday tidak dikekalkan Negeri Sembilan untuk kempen musim hadapan. Amirul Adli pula kembali ke kelabnya, Tampines Rovers selepas tamat tempoh pinjaman.
Pengumuman ini dijangka membuka ruang buat Negeri Sembilan mengenal pasti tonggak import yang sesuai dengan corak permainan yang akan diterapkan jurulatih baharu dari Sepanyol, Daniel Gimenez.
Bekas pemenang Piala AFC edisi 2019 itu diumumkan sebagai jurulatih baharu Sang Rusa baru-baru ini.