Daniel Gimenez Jurulatih Baharu Negeri Sembilan
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Jurulatih Sepanyol, Daniel Gimenez Alcaniz diumumkan sebagai jurulatih baharu Negeri Sembilan FC.

Pelantikan bekas jurulatih Al-Nasr Salalah itu diumumkan pengurusan skuad Sang Rusa menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi pasukan itu.

Pelantikan Gimenez sekaligus menamatkan teka-teki tentang siapakah calon pengganti tetap jurulatih sebelumnya, Nidzam Jamil.

“Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan jurulatih dari Sepanyol, Daniel Giménez Alcañiz, sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan bagi menghadapi musim 2026/27.

“Pemegang Lesen UEFA Pro itu membawa bersama lebih sedekad pengalaman dalam bola sepak profesional merentasi Eropah, Asia dan Afrika. Sepanjang karier kejurulatihannya,

“Daniel pernah berkhidmat bersama Al Ahed FC (Lubnan), Al Nejmeh SC (Lubnan), Al Hilal (Sudan), Modern Sport FC (Mesir), Akhaa Al Ahly FC (Lubnan), skuad Bawah 17 Tahun Kebangsaan Lubnan serta Al-Nasr Club di Liga Profesional Oman,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengerusi kelab merangkap Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun melihat pelantikan anak jati Barcelona, Sepanyol itu selari dengan falsafah pasukan.

“Apa yang menarik perhatian kami bukan sahaja pengalaman beliau di pelbagai negara dan pertandingan antarabangsa, tetapi juga falsafah bola sepak yang seiring dengan identiti Negeri Sembilan FC.

“Kami mahu membina sebuah pasukan yang berani bermain bola sepak moden, mempunyai organisasi taktikal yang baik dan pada masa yang sama memberi ruang serta peluang kepada pemain muda untuk berkembang.

“Daniel mempunyai rekod yang baik dalam membangunkan bakat muda dan memaksimumkan potensi pemain. Ini amat penting kerana kami percaya masa depan Negeri Sembilan FC bergantung kepada keupayaan kelab membangunkan generasi pemain yang mampu menjadi tulang belakang pasukan dalam jangka masa panjang.

Aminuddin percaya kehadiran Gimenez mampu membantu pasukan itu mencapai sasaran yang ditetapkan untuk musim 2026/27.

Antara pencapaian jurulatih berusia 42 tahun itu dalam kariernya ialah bergelar juara Piala AFC 2019 bersama Al-Ahed dan juara Sudan Premier League bersama Al-Hilal.