Negeri Sembilan FC (NSFC) hari ini mengumumkan telah menerima surat peletakan jawatan Nidzam Jamil selaku Ketua Jurulatih berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi satu kenyataan rasmi, pihak kelab menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa serta sumbangan yang telah diberikan beliau sepanjang mengendalikan pasukan sejak awal musim ini.
Dalam mendepani fasa peralihan tersebut, Penolong Ketua Jurulatih, K. Rajan diberikan kepercayaan penuh untuk memimpin skuad Jang sebagai Ketua Jurulatih Interim sehingga satu pengumuman baharu dibuat kelak.
Menurut kenyataan sama, fokus utama kelab dan barisan kejurulatihan ketika ini adalah untuk mengembalikan kestabilan pasukan serta memulihkan moral pemain bagi menghadapi baki saingan musim ini.
NSFC turut menyeru seluruh penyokong agar terus memberikan sokongan padu kepada pasukan dalam mengharungi cabaran yang mendatang.
Untuk rekod, Nidzam Jamil membimbing Negeri Sembilan dalam 24 perlawanan musim ini dengan merekodkan tujuh kemenangan, enam keputusan seri dan 11 kekalahan dalam semua saingan Liga Malaysia.
Tugas pertama menanti Negeri Sembilan di bawah kendalian K. Rajan adalah aksi Liga Super menentang Sabah di tempat lawan pada 28 Februari ini.