Nidzam Jamil Serah Nasib Kepada Negeri Sembilan
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Pengendali Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil menyerahkan nasib beliau kepada pengurusan pasukan berhubung prestasi tidak menentu anak buahnya.

Sang Rusa terus kempunan meraih kemenangan apabila tewas 2-1 kepada Imigresen FC dalam aksi terbaru Liga Super.

Selepas mendahului menerusi gol Luqman Hakim Shamsudin, Negeri Sembilan beraksi dengan 10 pemain. Ini selepas Yuichi Hirano diperintah keluar padang oleh pengadil, Zamzaidi Katimin.

Ini membuka ruang buat Imigresen meraih kemenangan menerusi dua gol pemain Brazil, Eduardo Sosa.

Kekalahan ini menyaksikan Sang Rusa gagal merasai kemenangan dalam liga sejak menewaskan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) pada 24 Disember lalu.

Nidzam mengakui prestasi tidak menentu Negeri Sembilan sedikit sebanyak memberi kesan kepada kedudukannya sebagai jurulatih.

Pada masa sama, beliau menyatakan komitmen penuh kepada pasukan itu selagi mana diberi kepercayaan membimbing Negeri Sembilan.

“Saya seorang jurulatih. Saya sedar tentang hari pertama saya dilantik, kesan adakah (pasukan)
mencapai matlamat atau tak mencapai matlamat.

“Saya di sini untuk membina sebuah pasukan berdasarkan keputusan musim lalu. Tapi saya tahu ada kata-kata kecil berkenaan kedudukan saya. Tapi ini adalah bola sepak, saya sudah melalui banyak perkara sebelum ini.

“Ini adalah sebahagian daripada bola sepak tapi pada akhirnya, keputusan tidak menyebelahi kita. Saya ada kerja yang saya perlu buat. Selagi kepercayaan diberi daripada pengurusan 100% kepada saya, saya akan berikan 100% kepada pengurusan dan kelab,” katanya.

Keputusan ini menyaksikan Negeri Sembilan kini berada di tangga kesembilan liga dengan 17 mata.