Aksi Minggu 7 saingan Liga Super 26-27 menyaksikan Penang FC melakar kejutan ke atas Kuala Lumpur City FC.
Pasukan kendalian Victor Andrag membariskan kesebelasan terbaik dengan peledak Perancis, Enzo Celestine mengetuai jentera serangan pasukan.
Beraksi di laman sendiri, pasukan bimbingan Datuk Dollah Salleh turun dengan momentum terbaik pada awal permainan, sungguhpun beraksi tanpa penyerang berpengalaman, Paulo Josue.
Detik terbaik buat The City Boys hadir menerusi percubaan penyerang, Reagy Ofosu namun rembatan derasnya tidak tepat ke sasaran.
Pasukan pelawat mendapat kelebihan pada saat akhir babak pertama selepas pertahanan KL City, Adam Nor Azlin tertampan bola ke dalam gawang sendiri untuk memberikan kelebihan buat Penang FC.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan kelebihan milik pasukan pelawat dengan jaringan 1-0 di Cheras.
Bersambung babak kedua, tuan rumah cuba menggandakan usaha menerusi gerakan dari posisi sayap pasukan menerusi gandingan S. Kumaahran dan juga Fazrul Amir.
Detik paling berharga buat KL City hadir menerusi percubaan Paulo Josue dari jarak 30 ela, namun ia berjaya diselamatkan dengan tenang oleh penjaga gol Penang FC, Khairul Azhan Khalid.
Malang berganda buat KL City selepas Paulo Josue dilayangkan kad merah susulan kekerasan yang dilakukan terhadap pemain Penang FC.
Tambahan masa lapan minit tidak dapat mengubah keputusan perlawanan apabila kekal hingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan, Faizudin Ismail.
KL City kini menduduki tangga kesembilan Liga Super dengan enam mata selepas tujuh perlawanan manakala Penang melonjak ke kedudukan ketujuh liga dengan tujuh mata.
Aksi berikutnya menyaksikan KL City bakal bertemu Star City pada 29 November jam 9.00 malam, manakala Penang berehat bagi aksi Minggu 8.

