Ramalan Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak tentang penyerang pasukan, Safawi Rasid ternyata benar.
Sejak berhijrah dari Kuala Lumpur City ke Kuching pada Julai lalu, penyerang kebangsaan itu tidak lari daripada kritikan apabila prestasinya dipersoalkan, lebih-lebih lagi ketika Kuching City hanya meraih satu kemenangan dalam lapan perlawanan sejak pertengahan September.
Namun begitu, Aidil tetap meletakkan kepercayaan penuh kepada anak buahnya itu dan yakin beliau akan kembali menemui sentuhan terbaiknya.
Keyakinan tersebut terbukti apabila Safawi menjaringkan satu gol ketika Kuching City menundukkan Negeri Sembilan 2-0 dalam aksi Liga Super, semalam. Selain gol, pemain berusia 29 tahun itu turut mempamerkan persembahan yang meyakinkan sepanjang perlawanan.
“Saya rasa anda juga boleh lihat Safawi Rasid kembali menjaringkan gol. James Okwuosa juga kembali daripada kecederaan dan menjaringkan gol. Jadi ini satu persembahan yang baik oleh pemain-pemain,” ujar Aidil selepas aksi menentang Negeri Sembilan.
Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sebenarnya sudah menunjukkan tanda-tanda kebangkitan sejak awal bulan ini apabila meledak dua gol ketika Kuching City menewaskan wakil Korea Selatan, Gangwon FC 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) pada 5 November lalu. Kemenangan itu ternyata menjadi titik perubahan buat pasukan selepas melalui fasa sukar.
Momentum itu diteruskan tiga hari kemudian apabila The Cats menyingkirkan Selangor FC 2-0 selepas masa tambahan dalam saingan Piala FA 26-27, dengan Safawi meledak penalti pada perlawanan tersebut. Ini bermakna Kuching City kini mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam tiga pertandingan berbeza tanpa sebarang bolos.
Bagi jurulatih warga Singapura itu, kembalinya Safawi ke landasan menjaringkan gol amat penting kerana beliau merupakan antara tonggak utama jentera serangan pasukan. Gandingan pemain kelahiran Terengganu itu bersama rakan sepasukan di bahagian hadapan dilihat semakin serasi, sekali gus memberi pelbagai pilihan kepada Aidil dalam menyusun strategi.
Ujian seterusnya buat Kuching City ialah aksi Kumpulan H ACL2 menentang wakil Kemboja, Phnom Penh Crown di laman sendiri pada 26 November ini, jam 6.00 petang waktu Malaysia. Sejurus selepas itu, skuad kendalian Aidil akan terbang ke Hong Kong untuk berdepan Kitchee pada 3 Disember, jam 8.15 malam.
Dengan Safawi kembali tajam di depan gol, penyokong Kuching City pastinya menaruh harapan tinggi agar beliau terus menjadi aset utama pasukan, sekali gus membantu Kuching City melangkah lebih jauh dalam kempen sulung mereka pada pentas Asia.

