Hasrat Melaka FC untuk meneruskan rentak kemenangan buat kali ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super musim ini tidak menjadi kenyataan apabila diikat Star City FC di Stadium Hang Jebat pada Sabtu.
Melaka yang dibimbing oleh E.Elavarasan menurunkan skuad terkuat dengan Firdaus Irman di bahagian penjaga gol dan Kpah Sherman pula kekal di posisi penyerang untuk mencari jaringan buat Melaka.
Manakala Star City pula mempertaruhkan pemain-pemain berpengalaman seperti Moses Atede, Endrick Dos Santos dan Rafael Vitor pula menjadi tonggak utama di bahagian pertahanan.
Perlawanan dimulakan dengan Melaka tidak perlu menunggu lama untuk berada di hadapan menerusi penyudah Jafri Firdaus Chew seawal minit ke-5. Pemain sayap itu membuat percubaan jarak jauh kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Star City. Melaka di hadapan 1-0.
Star City terus melancarkan asakan ke kubu Melaka dalam usaha memburu gol. Hasilnya, Pedro Filho berjaya meledak jaringan pada minit ke-20, namun kegembiraan tersebut tidak bertahan lama apabila gol berkenaan dibatalkan selepas semakan VAR mendapati ada pemain Star City berada di dalam kedudukan ofsaid.
Kpah Sherman hampir menambah jaringan buat Melaka pada minit ke-40 namun percubaan akrobatik pemain antarabangsa Liberia itu berjaya diselamatkan Farhan Majid di gawang Star City.
Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua dimulakan dengan Star City mengawal permainan dengan agak baik dan beberapa serangan mula dicipta untuk mendapatkan jaringan penyamaan.
Star City akhirnya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-55 menerusi tandukan Pedro Henrique yang menyambar hantaran menarik Douglas Oliveira. Kedudukan terikat 1-1.
Kegembiraan jaringan penyamaan Star City itu hanya kekal lima minit apabila Melaka menjaringkan gol kedua pada minit ke-60 melalui tampanan Noel Agbre yang menyudahkan sepakan percuma Pak Kwang-il.
Star City yang menggandakan asakan ke kubu Melaka telah dihadiahkan sepakan penalti dan Douglas Oliveira yang ditugaskan mengambil sepakan itu tidak berdepan masalah untuk menyudahkannya sekali gus mengikat kedudukan menjadi 2-2.
Pemain gantian Melaka, Do Dong-hyun hampir menambah jaringan buat Melaka pada minit ke-88 namun rembatannya melambung tinggi walaupun sebelum itu telah menggelecek dua pemain Star City.
Star City terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas Noah Leddle dilayangkan kad merah kerana mengasari Kpah Sherman.
Keputusan 2-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.


