Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Daniel Gimenez mengakui pengalaman luas yang dimiliki barisan pemain Kuching City menjadi antara faktor utama kekalahan pasukannya 0-2 dalam aksi Liga Super 2026-27 minggu ke-7.
Pengalaman dan kematangan pemain Kuching City dilihat menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan apabila Negeri Sembilan gagal menghalang kehebatan skuad kendalian Aidil Sharin yang berjaya menguasai permainan serta menguruskan tekanan dengan lebih baik sepanjang perlawanan.
Menurut Gimenez, majoriti pemain lawan yang berusia lebih 30 tahun memberikan kelebihan dari segi pengalaman, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan lebih tepat ketika berdepan situasi sukar di atas padang.
Beliau turut menyifatkan faktor tersebut sebagai antara sebab Kuching City mampu mengekalkan kedudukan dalam kelompok teratas liga, selain memiliki pengalaman beraksi dalam kejohanan di peringkat antarabangsa.
“Walaupun begitu, jika kita lihat dari segi usia pemain pasukan lawan, sekitar 70 hingga 80 peratus daripada mereka berusia lebih 30 tahun. Ini bermakna mereka mempunyai pengalaman yang jauh lebih luas. Mereka tahu bagaimana untuk mengawal dan menguruskan situasi dalam perlawanan. Sebab itulah mereka berada di kedudukan teratas liga dan turut bersaing dalam kejohanan di peringkat antarabangsa.
“Pada masa yang sama, kami juga cuba bermain secara lebih ke hadapan, melakukan percubaan ke arah gol dan menerapkan pelbagai aspek permainan yang telah kami latih. Namun, bola sepak ini sama seperti kehidupan. Ada kalanya sesuatu perkara tidak berlaku seperti yang kita jangkakan atau inginkan,” katanya.
Gimenez turut mengakui keampuhan benteng pertahanan Kuching City menyukarkan usaha anak buahnya untuk menghasilkan ancaman lebih berbahaya sepanjang perlawanan.
Meskipun Negeri Sembilan berjaya memperoleh beberapa peluang untuk merapatkan kedudukan, termasuk menerusi situasi bola mati, mereka gagal memanfaatkan kesempatan tersebut untuk menghasilkan jaringan.
Beliau juga berpendapat perbezaan dari segi kualiti dan pengalaman antara kedua-dua pasukan memainkan peranan penting apabila beberapa peluang yang dimiliki Negeri Sembilan tidak diterjemahkan kepada jaringan.
“Saya rasa mereka bertahan dengan sangat baik dan berjaya menutup ruang permainan kami. Kami juga mempunyai beberapa peluang, tetapi peluang tersebut tidak begitu berbahaya. Ada perbezaan antara peluang yang sekadar menghasilkan percubaan, sama ada tepat atau tersasar daripada sasaran, dengan peluang yang benar-benar mampu mengancam gawang lawan.
“Namun begitu, saya percaya kami turut mempunyai beberapa peluang yang agak jelas, termasuk daripada situasi sepakan penjuru. Tetapi sekali lagi, faktor kualiti dan pengalaman menjadi pembeza. Saya rasa kita semua dapat melihat sendiri kedudukan mereka dalam liga serta pencapaian mereka di pentas Piala AFC,” kata jurulatih Negeri Sembilan, Daniel Gimenez ketika sidang media selepas perlawanan menentang Kuching City.
Untuk rekod, Negeri Sembilan terpaksa menerima kekalahan 0-2 selepas Kuching City berjaya menghasilkan dua jaringan pada separuh masa pertama menerusi penyerang berbisa, Safawi Rasid dan pertahanan kental, James Okwuosa.
Dua gol tersebut sudah cukup untuk memastikan skuad The Cats membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, sekali gus meneruskan momentum positif mereka dalam saingan Liga Super musim ini.
Selepas ini, Negeri Sembilan bakal meneruskan cabaran dalam saingan Liga Super dengan berdepan Terengganu, manakala Kuching City dijadualkan melayan kunjungan Star City pada 12 Disember 2026 depan di Stadium Taha Ariffin.


