Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim tampil menjelaskan punca di sebalik kemelut yang melanda pasukan negeri itu.
Prestasi anak buah Nafuzi Zain sejak kebelakangan ini menggusarkan penyokong Peteh. Selain bergelut mencari kemenangan kedua dalam liga, Terengganu juga sudah tewas empat kali.
Ini termasuk kekalahan 2-1 di tangan DPMM FC baru-baru ini. Justeru, hal ini mengundang persoalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, Zawawi Ismail dalam Sidang DUN Negeri Terengganu baru-baru ini.

Hishamuddin memaklumkan situasi ini berlaku kerana skuad Terengganu dibelenggu beban hutang berjumlah RM13 juta. Ini disebabkan kos gaji yang tinggi membabitkan bekas pemain import yang pernah direkrut pasukan itu.
“Bila kita mengambil pemain-pemain yang mahal suatu ketika, ada sebahagiannya yang tidak mampu bermain, tidak boleh bermain kerana kecederaan. Kita membayar satu juta contoh kerana gajinya tinggi, satu juta tanpa bermain.
“Tapi perlu dimaklumkan kepada semua, bila kita tidak boleh membayar secara terus, kita perlukan masa membuat bayaran secara berperangkat. Bila kita membuat pembayaran secara berperingkat, dia buat aduan kepada FIFA. Bila buat aduan kepada FIFA, kita dikenakan sekatan perpindahan.
“Apabila kita lambat lagi bayar, maka kita pada waktu tersebut akan dikenakan denda kerana kita lambat membayar. Itu satu pemain yang kita berikan contoh. Dan ramai lagi yang kita terlibat. Oleh kerana bebanan-bebanan ini, kita menerima tanggungjawab menguruskan TFC ini dengan bebanan hutang sebanyak RM13 juta,” katanya seperti dikongsikan Terengganu11.
Hishamuddin turut memaklumkan ketika ini, sebahagian daripada hutang tersebut sudah dilunaskan. Beliau percaya jika urusan hutang dapat diselesaikan sepenuhnya, ini memberi kebebasan kepada Terengganu untuk mendapatkan pemain yang lebih baik.
“Dan untuk rekod saya maklumkan di dalam dewan ini, penyelesaian yang dibuat dengan sokongan kerajaan negeri, kita telah berjaya menyelesaikan separuh daripada hutang tersebut.
“Dan kalaulah musim akan datang, kita mula dengan kosong tanpa bebanan hutang, tentu sekali kita mampu untuk menguruskan pasukan ini dengan pembelian pemain yang lebih baik dan sebagainya,” tambahnya.
Hishamuddin turut menzahirkan penghargaan atas segala teguran dan cadangan demi membantu bola sepak negeri itu.

