Jurulatih Kelantan Red Warrior FC (Kelantan RW FC), Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kemenangan ke atas Sabah FC sebagai kemenangan paling bermakna buat pasukan itu.
Ini kerana pada hemat beliau, kemenangan itu merupakan kemenangan pertama Kelantan RW dalam Liga Super musim ini.
Ini sekali gus satu ganjaran buat barisan pemain Kelantan RW kerana sentiasa berjuang bersungguh-sungguh di atas padang demi mendapatkan mata.
“Satu mata yang begitu bernilai sekali menang dengan Sabah dan harus diingat, kita sekarang ini sudah menjaringkan 8 gol melebihi pasukan Terengganu dan juga Pulau Pinang. Jadi memang kita bolos banyak awal-awal lagi 9-0, 6-0 apa semua itu kan.
“Tapi malam ini persembahan pemain-pemain begitu memberansangkanlah yang mana mereka telah berikan segala-galanya. Kadang-kadang tak ada mata, jadi saya mengharapkan satu mata sahaja malam ini sebenarnya,” katanya.
Irfan turut melihat kemenangan itu menyuntik moral pasukan terutama dalam mendapatkan dana bagi menyelesaikan sekatan perpindahan yang dihadapi pasukan itu.
“Jadi kalau dah tiga mata itu kira satu keputusan yang memberansangkanlah untuk mendapatkan dana nak selesaikan benda itu (sekatan perpindahan) sebab kita kena selesaikan semua.
“Tak boleh selesaikan dua atau tiga orang. Jadi kena tunggu pengurusan jugalah. Pengurusan bila saya tanya pun dia kata Insya Allah dalam masa terdekat ini,” tambahnya.
Kelantan RW bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Sabah 2-1. Selepas ketinggalan menerusi gol Jose Angel, pasukan Pantai Timur itu meraih kemenangan menerusi gol Rizuan Muda dan Emmanuel Mbarga.

