Pemain tengah kebangsaan, Sergio Aguero terpaksa melupakan panggilan menyertai kem Harimau Malaya buat kali kedua.
Sebelum ini, masalah kecederaan menghalang bekas tonggak Sri Pahang FC itu daripada menyertai kem negara untuk kempen FIFA ASEAN Cup.
Kini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan Aguero sekali lagi terpaksa melupakan panggilan kem negara pada November ini.
Pemain tengah berusia 32 tahun itu terpaksa berbuat demikian kerana mengalami kecederaan lutut ketika beraksi untuk kelabnya, PSM Makassar.
“Kempunan kali kedua, difahamkan Sergio Aguero dapat panggilan skuad Harimau Malaya untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yemen di Guangzhou, namun terpaksa lupakan akibat kecederaan lutut,” katanya di X.
Kecederaan itu dialami dalam aksi terbaru Super League antara PSM dan Persebaya Surabaya baru-baru ini. Aguero terpaksa diusung keluar dari padang dengan Resky Fandi masuk sebagai pengganti.
Portal Opsi melaporkan jurulatih PSM, Darije Kalesic mengesahkan bekas pemain Kanchanaburi Power itu akan terlepas tiga aksi Super League.
Ini bermakna Aguero dijangka kembali beraksi selepas kalendar antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan November. Beliau dijangka kembali menjelang aksi menentang Persija pada 21 November.
Malaysia bakal berdepan China dan Yaman untuk dua aksi antarabangsa pada November ini.
